Perlembagaan selaras hal ehwal Islam semua negeri.

OLEH SHAMRAHAYU A AZIZ
bhrencana@bh.com.my

Keluhuran Perlembagaan secara harfiahnya bermaksud kemuliaan, ketinggian dan keagungan Perlembagaan. Bagi setiap negara yang mempunyai Perlembagaan bertulis, Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara.

Bagi pelajar undang-undang, keluhuran Perlembagaan bermaksud apa juga undang-undang yang tidak selaras dengan Perlembagaan adalah tidak sah. Dalam pentadbiran negara prinsip keluhuran Perlembagaan ini menghendaki setiap aspek pentadbiran hendaklah sentiasa selaras dengan Perlembagaan. Dalam bahasa mudah Perlembagaan sentiasa menjadi kayu ukur kepada semua tindakan, sama ada perundangan atau juga pentadbiran.

Dalam konteks sebuah negara Persekutuan seperti Malaysia, prinsip keluhuran Perlembagaan terpakai sebagai suatu bentuk perjanjian. Dalam Perlembagaan itu termaktubnya persetujuan antara kedua peringkat negeri. Antara lain ia menyatakan pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri.

Dalam proses mencapai kemerdekaan, dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Perlembagaan bahawa Suruhanjaya tersebut bertanggungjawab untuk mendraf Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu dengan menubuhkan sebuah negara Persekutuan yang mempunyai kuasa yang kuat dan negeri menikmati suatu ukuran kuasa autonomi (The establishment of a strong central government with the States and Settlements enjoying a measure of autonomy).

Perincian kuasa autonomi negeri

Dalam konteks kedudukan Islam Perkara 3 menjadi peruntukan dasar tentang Islam sebagai urusan autonomi negeri dan seterusnya meletakkan Islam dalam urusan negeri-negeri. Raja-Raja diisytihar sebagai ketua agama bagi negeri-negeri, manakala Yang di-Pertuan Agong pula dijadikan Ketua Agama bagi negeri baginda sendiri dan bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai raja.

Inilah antara inti pati perjanjian antara Persekutuan dan negeri dalam hal berkaitan agama Islam. Perincian berkaitan kuasa autonomi negeri-negeri berkaitan ini telah disebut, terutamanya dalam Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun hal ehwal agama Islam dijadikan urusan negeri ini tidak bermakna urusan Islam tidak boleh diselaraskan bagi semua negeri. Perlembagaan juga menyediakan mekanisme untuk hal berkaitan Islam itu diselaraskan bagi negeri-negeri. Maksudnya, Perlembagaan juga memungkinkan hal-ehwal Islam diseragamkan di seluruh negara.

Mekanisme ini dinyatakan antara lain dalam bidang kuasa budi bicara Raja-Raja Melayu menerusi Perkara 38 Perlembagaan.

Perkara 38 ini, antara lain, selain daripada menggabungkan kesemua Raja yang memerintah, termasuk Yang di-Pertua Negeri, meletakkan peranan yang boleh dimainkan oleh Raja-Raja Melayu berkaitan kedudukan Islam. Fasal 38(6)(d) menyatakan perkara ini. “Anggota Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka…berhubungan dengan fungsi yang berikut,:…. (d) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh.”

Selain itu Fasal 76(1)(b) dan (c) juga memberi ruang kepada penyelarasan kepada undang-undang Islam di negeri-negeri dengan beberapa syarat yang dikenakan oleh Perlembagaan sendiri, seperti dalam Fasal 76(3).

Akur dengan pembahagian kuasa

Mekanisme Perlembagaan yang disebut dalam peruntukan-peruntukan di atas boleh dijadikan sumber kuasa bagi menambahbaik kedudukan agama Islam dan sistem perundangannya, termasuklah membentuk Mahkamah Syariah pada peringkat Persekutuan.

Itulah yang kita ada dalam Perlembagaan setelah kita mencapai kemerdekaan. Kita bersetuju dalam perkara berkaitan keluhuran Perlembagaan. Kita akur dengan pembahagian kuasa tersebut. Kita tidak menolak prinsip yang meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi dan hal ehwal agama Islam, yang berkaitan dengan kekeluargaan dan peribadi umat Islam diletakkan di bawah urusan negeri. Kita juga faham dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan menjadi penanda aras kepada keabsahan sesuatu undang-undang, termasuk undang-undang Syariah.

Umat Islam negara ini sudah begitu akur dengannya walaupun mungkin ada antara umat Islam yang terdetik mahukan lebih banyak daripada itu.

Setelah menelusuri merdeka lebih daripada 50 tahun umat Islam negara ini tidak sedikitpun membelakangi kedudukan atau ketetapan Perlembagaan itu. Malah, begitu patuh dengan keadaan itu.

Justeru, apabila akur dengan ketetapan Perlembagaan tersebut, umat Islam mahukan pelaksanaan Islam, termasuk ajaran dan perundangannya dilaksana menurut apa sahaja yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Segala apa yang dijamin oleh Perlembagaan hendaklah dipatuhi oleh semua pihak atas dasar keluhuran Perlembagaan. Pematuhan ini penting kerana setiap peruntukan Perlembagaan itu akan hanya berfungsi dengan baik andainya dihormati semua pihak. Pematuhan ini juga akan menambahbaik integrasi antara semua warga Malaysia.

Penulis ialah Felo Utama Pusat Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

APEC

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di China untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) selama dua hari bermula Isnin.

Najib yang juga Menteri Kewangan, mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu.

Pada AELM ke-22, perdana menteri dijadual membincangkan tiga keutamaan APEC 2014: meningkatkan penyepaduan ekonomi serantau, mempromosi pembangunan inovatif, pembaharuan ekonomi dan mengukuhkan perhubungan secara menyeluruh serta pembangunan infrastruktur.

Sumbangan R&D

Sumbangan penyelidikan kepada negara tidak boleh dilihat hanya dari sudut berapa produk yang dihasilkan, dipaten dan dikomersialkan. Penyelidikan menjadi nadi utama universiti di mana- mana pun di dunia dalam meneroka ilmu baharu selain memperkasakan dapatan sebelum ini. Penghasilan produk hasil daripada penyelidikan dan pengkomersialan hanyalah sebahagian daripadanya.

Hasil penyelidikan dapat dilihat daripada begitu ramai siswazah dikeluarkan oleh universiti kita yang diperkayakan pengalaman dan ilmu pengetahuan melalui proses pendidikan mengenai kajian untuk perolehan data, termasuk membantu cendekiawan meneliti pelbagai disiplin ilmu secara emperikal mahupun mengikut kaedah dan metodologi lainnya dalam kerja lapangan, kerja di makmal dan sebagainya.

Siswazah diajar menggunakan dapatan penyelidikan yang diteruskan apabila mereka mula memasuki dunia kerjaya, termasuk dalam industri yang sebenarnya tidak termasuk pun pengiraannya dalam penghasilan produk apatah lagi pengkomersialan.

Hal ini perlu difahami kerana hampir semua ilmu yang diajar di universiti bukan lagi berasaskan hafalan dan menurunkan semula apa yang dibaca, kepada kertas jawapan dalam peperiksaan bertulis. Ia hanya sebahagian daripada peratusan keperluan untuk pengijazahan, dan inilah yang membezakan universiti dengan sekolah atau institusi pengajian yang lebih awal, walaupun sebahagian asas ini bermula pada peringkat sekolah tinggi dan matrikulasi.

Pengukuran sebenar kejayaan

Hasil penyelidikan juga perlu dilihat dalam tanda aras yang betul jika mahu membuat pengukuran secara objektif apatah lagi jika dibuat pengiraan purata secara mudah yang membabitkan kerja yang tidak seimbang di antara pelbagai universiti yang ada. Sesetengah universiti, terutama yang mempunyai sejarah lama dan usaha kerja penyelidikan yang lebih banyak berbeza dengan sebahagian besar universiti lain yang sedang bergerak ke arah yang sama.

Dari sudut penghasilan produk untuk dipatenkan pun, kita boleh melihat dengan jelas perbezaan antara universiti di Amerika Syarikat yang berusia jauh lebih lama dari negara ini dengan universiti kita. Misalnya pada tahun 2004 permohonan paten daripada AS$225 juta hanya 0.25 peratus yang dicapai dan perolehan paten hanya sekitar 0.09 peratus.

Pendapatan daripada pelesenan AS$27,825. (Sumber AUTM, ASTP, Milklen Institute). Pengukuran sebenar kejayaan usaha penyelidikan dan inovasi juga perlu dilihat dari segi bagaimana dana yang diberi dapat digunakan dalam proses keilmuan universiti dan fundamental yang jelas untuk faedah penerokaan dalam sesuatu bidang malah juga memperkasakan penemuan sebelum ini.

Yang nyata ekosistem yang ada juga belum menyokong sepenuhnya usaha pengkomersialan produk kerana ada jurang yang nyata antara apa yang dihasilkan di makmal dengan keperluan sebenar industri. Industri selalunya mengharapkan produk sedia dipasar dan diguna daripada mengeluarkan pelaburan besar untuk meningkatkan skala penghasilan produk berkenaan untuk tujuan pasaran.

Pelabur seboleh mungkin enggan untuk berbuat demikian kerana risiko yang ada, malah disebabkan oleh adanya kegiatan penyelidikan dan pembangunan dalaman mereka yang sesetengahnya jauh lebih berintensifkan keuntungan berbanding dengan apa yang dihasilkan oleh universiti. Tempoh masa untuk memperoleh keuntungan daripada dana yang dilaburkan untuk universiti juga akan lebih panjang dan lama.

Pembinaan negara bangsa

Hakikatnya hasil penyelidikan di universiti juga perlu melihat kepada sumbangan besarnya dalam penghasilan inovasi sosial dan pembangunan masyarakat yang lebih menyeluruh serta pembinaan tamadun yang berteraskan ilmu.

Ada banyak usaha sedemikian dalam membantu masyarakat dalam era berlakunya proses pemindahan ilmu sekarang ini hasil daripada usaha penyelidikan yang dibuat. Dalam erti kata lain, hasil penyelidikan yang ada dapat diturunkan dan dikongsi terus dengan masyarakat melalui usaha penyelidikan di universiti tanpa menghasilkan produk khusus, sebaliknya memperkukuhkan teknologi yang ada dan digunakan dalam masyarakat.

Ini tentunya lebih bermakna, pada masa sama, universiti secara berterusan memanfaatkan dana yang ada untuk menerokai pelbagai disiplin ilmu, membina jaringan kerjasama dan memanfaatkan hasil dapatannya menerusi penghasilan dalam jurnal yang dirujuk dan diterima di seluruh dunia.

Penyelidikan dan inovasi menjadi satu daripada komponen utama universiti yang dapat menjadi hak milik rakyat dan menjadi teras kepada pemikiran dan cara bekerja yang tidak hanya menggunakan emosi tetapi fakta dan data jelas, yang bermula dari proses kerja di makmal dan lapangan sebenar menggunakan metodologi penyelidikan dan dihasil melalui pendidikan tinggi di universiti.

Penyelidikan dalam bidang sastera, budaya, arkeologi, sosiologi anthropologi, seni, pengurusan, perakaunan dan banyak lagi b
idang ilmu lain juga sering tidak menghasilkan dapatan dalam bentuk produk untuk dikomersialkan tetapi sangat penting dalam proses pembinaan negara bangsa.

Kerana itu membuat tafsiran data daripada dana penyelidikan perlu dibuat secara menyeluruh tanpa prasangka dan deskripsi mudah kerana ia akan memberi kesan psikologi dan persepsi yang mengganggu proses dan usaha yang dibuat selama ini.
Sumber : BH

Isu kemiskinan dan cara mengatasi.

Sebanyak dua juta atau 28.7 peratus daripada tujuh juta isi rumah di negara ini masih dikategorikan sebagai miskin bandar dengan pendapatan di bawah paras RM3,000 sebulan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sehubungan itu, kerajaan akan terus meningkatkan pendapatan rakyat seiring dengan pergerakan kos hidup dan seterusnya menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.

Katanya, ia akan dilakukan dengan mempergiatkan agenda transformasi ekonomi yang memberi fokus kepada modal insan, peningkatan dalam produktiviti serta kreativiti dan inovasi.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, lima juta isi rumah lagi atau 71.3 peratus kini mampu menjana pendapatan bulanan melebihi RM3,000 iaitu peningkatan ketara setakat awal tahun ini berbanding hanya 61.3 peratus isi rumah pada 2012.

“Kerajaan juga akan terus memberi tumpuan kepada aspek pembangunan sosial dan mengambil langkah bersesuaian dalam usaha membantu rakyat menangani beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kerajaan juga akan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik serta kemudahan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Klinik 1Malaysia yang menawarkan barangan serta perkhidmatan pada harga berpatutan kepada semua lapisan rakyat,” katanya.

Abdul Wahid berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) berhubung Model Baru Ekonomi (MBE) dan pergerakan gaji serta pendapatan per kapita rakyat menjelang 2020 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, sasaran MBE untuk meningkatkan pendapatan per kapita rakyat kepada RM49,000 menjelang 2020 masih berada di landasan tepat dengan peningkatan yang ketara melalui pelbagai pemboleh ubah ekonomi.

“Dalam tempoh lima tahun antara 2008 dan 2013, ekonomi kita telah meningkat pada kadar purata 5.1 peratus setahun manakala jumlah gaji naik pada kadar lapan peratus setahun.

“Ini telah membolehkan nisbah atau peratusan gaji kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada 29.3 peratus pada 2008 kepada 33.6 peratus pada 2013 sekali gus memberi makna pembahagian hasil peningkatan ekonomi yang adil,” katanya.

Katanya, dalam tempoh itu, indeks harga pengguna (IHP) juga telah meningkat daripada 98.3 kepada 110 iaitu peningkatan tahunan sebanyak 2.3 peratus yang menggambarkan peratusan pertambahan pendapatan isi rumah lebih tinggi berbanding kenaikan kadar inflasi.

“Di samping itu, pendapatan 40 peratus isi rumah terendah juga telah meningkat daripada RM1,440 pada 2009 kepada RM1,847 (2012) dan RM2,312 pada tahun 2014 iaitu peningkatan 10 peratus setahun dalam jangka masa itu,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Hidup tanpa subsidi?

Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia percaya mereka tidak boleh hidup tanpa subsidi, yakin tanpanya kualiti hidup mereka perlu dikompromikan.

Realitinya kita boleh, dan yang lebih penting, kita mesti (hidup tanpa subsidi).

Walaupun ada subsidi yang perlu dimansuhkan, ada yang wajar dikekalkan.

Bantuan langsung dan subsidi bersasar untuk kumpulan yang memerlukan, boleh diteruskan, termasuk perkhidmatan perlu seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Ramai yang mengatakan pemansuhan subsidi bahan api akan menjejaskan kumpulan masyarakat yang paling mudah terjejas.

Bagi yang memerlukannya, Jabatan Kebajikan Masyarakat sedia membantu mereka. Jika RM2.4 bilion dijimatkan menerusi pengurangan subsidi sebanyak 10 sen bagi subsidi bahan api, kerajaan boleh menggunakan ‘penjimatan’ itu untuk menambah pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak kira-kira RM960 juta atau tambahan RM200 setiap isi rumah untuk kira-kira 4.8 juta isi rumah yang layak menerimanya.

Bagi mereka yang mendakwa jumlah itu tidak dapat mengimbangi peningkatan harga bahan api, perlu diingatkan bahawa isi rumah terbabit tidak memandu kereta besar.

Mereka mungkin menunggang motosikal berkapasiti rendah atau menggunakan pengangkutan awam. Malangnya yang membuat bising terdiri daripada kalangan yang memiliki kereta besar dan menjalani hidup mewah.

Ironisnya, bahan api yang murah inilah yang menarik penduduk negara jiran kita untuk menyeberangi sempadan dan mengisi tangki kenderaan masing-masing.

Ada juga kalangan nelayan dari negara jiran yang membeli diesel murah di negara ini.

Kita menggunakan sumber berharga untuk membantu mereka yang tidak memerlukannya, termasuk pelancong dan pemimpin korporat terkemuka.

Ada banyak sebab dari segi ekonomi mengapa kita wajar hidup tanpa subsidi.

Pertama, kos fiskal mengekalkan sistem subsidi sedia ada sangat tinggi.

Paras hutang negara yang tinggi mendapat perhatian rakyat, namun inilah antara langkah yang perlu diambil bagi menangani situasi itu dengan berkesan.

Kedua, ada kos peluang untuk kerajaan – ia boleh menggunakan penjimatan untuk sektor yang lebih memerlukan seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur.

Kerajaan boleh memperuntukkan dana untuk syarikat baharu, mewujudkan lebih peluang pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi mampan yang memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh.

Penggunaan bahan api tanpa had juga mendatangkan kesan buruk – pengurangan sumber.

Generasi akan datang akan merasai kesan akibat penggunaan tenaga yang besar ke atas pemanasan bumi.

Inikah dunia yang kita mahu diwarisi anak-anak kita? Bahan api yang murah juga bermakna kita tidak menghargai nilainya dan tidak berfikir dua kali kerana menggunakannya secara membazir.

Secara umumnya, subsidi perlu bersasar dan digunakan untuk menyelesaikan masalah khusus serta menggalakkan perubahan dari segi amalan, berbanding berperanan untuk menangani masalah jangka panjang yang akan lebih banyak mendatangkan masalah dan menjejaskan ekonomi.

Jika tidak ditangani, penggunaan dan subsidi tinggi akan menjurus kepada masalah yang lebih serius.

Ukraine, sebagai contoh terpaksa beralih ke Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk bantuan penyelamat berjumlah AS$15 bilion pada awal tahun.

Ukraine membelanjakan tujuh peratus Keluaran Dalam Negara Kasarnya untuk subsidi gas asli.

IMF enggan berunding dengan Ukraine sehinggalah negara itu mengurangkan subsidi kepada satu pertiga – bermakna Ukraine mesti melaksanakan rasionalisasi subsidi.

Saya percaya kita tidak mahu situasi seperti ini berlaku. Kesannya lebih buruk!

Subsidi bahan api juga tidak menggalakkan pelaburan dalam tenaga alternatif dan eksplorasi bahan api fosil.

Semasa membeli kenderaan, kebanyakan kita tidak memikirkan kos bahan api yang berkaitan dengannya. Namun tanpa petrol subsidi, kita akan menimbang alternatif penjimatan tenaga, termasuk kenderaan hibrid atau kereta elektrik.

Sebagai sumber asli, jumlah petroleum yang dimiliki pasti ada batasannya.

Apa akan berlaku jika kita kehabisan sumber petroleum? Akibatnya sukar dibayangkan.

Bukankah lebih baik untuk kita memulakan hidup tanpa subsidi sekarang, dan tidak menangguhkannya sehingga pada hari yang tidak dapat dielakkan lagi?

Tidakkah lebih baik untuk menggunakan wang yang kita bazirkan ke atas subsidi untuk meningkatkan perkhidmatan asas seperti air bersih, pendidikan yang lebih baik, pengangkutan awam, infrastruktur dan penjagaan kesihatan?

Walaupun kebimbangan tidak berasas bahawa kita tidak akan mampu menghadapinya, realitinya kita boleh dan kita akan. Kita akan mengubah corak penggunaan; menggunakan kenderaan cekap bahan api dan menggunakan pengangkutan awam bagi menangani realiti baharu.

– BERNAMA

Pendidikan Prasekolah

Oleh DR. MUHAMMAD ARIF MOHD. HASHIM
BIDANG pendidikan merupakan pemacu dalam pembentukan modal insan yang berinovatif dan berdaya saing. Usaha mempertingkatkan pembentukan budaya ilmu perlu dilakukan pada peringkat asas lagi iaitu pendidikan prasekolah bagi kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun. Ia penting bagi menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek perkembangan menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah.

Memberi pendidikan kepada kanak-kanak di peringkat kecil ini, amat bersesuaian dengan hadis yang bermaksud, ‘Menuntut ilmu sewaktu kecil itu seperti melukis di atas batu’. (Hadis: Riwayat Thabrani).

Kerajaan perlu terus memberi tumpuan dan menambah peruntukan dalam sektor pendidikan prasekolah. Kita amat menghargai usaha kerajaan yang memperuntukkan RM530 juta dalam Bajet 2014 bagi penyediaan program dan perkhidmatan prasekolah serta membina 93 buah sekolah prasekolah.

Dalam usaha untuk meningkatkan kecemerlangan dan bagi menampung peningkatan jumlah penyertaan murid prasekolah, kerajaan perlu menambah peruntukan dalam Bajet 2015 kepada RM795 juta, iaitu tambahan peruntukan sebanyak 50% daripada Bajet 2014.

Ini perlu diteruskan sehingga satu peringkat di mana kita mencapai sasaran seperti disarankan oleh beberapa negara maju iaitu nisbah murid dan guru tadika pada kadar 10:1 dengan bilangan kemasukan kanak-kanak ke prasekolah yang tinggi.

Peruntukan bajet yang lebih besar adalah bagi penyediaan program dan kokurikulum yang seragam dan lebih efektif, penyediaan bahan pendidikan, peralatan dan kemudahan fizikal yang bersesuaian serta inovatif, menambah bilangan tenaga pengajar dan menyediakan program latihan yang terkini serta membina lebih banyak lagi prasekolah di seluruh negara.

Semua kanak-kanak perlu menikmati peluang yang sama dalam pendidikan prasekolah tanpa mengira pendapatan keluarga, kawasan tempat tinggal sama ada di bandar, luar bandar atau pedalaman terutamanya orang Melayu yang kebanyakan tinggal di luar bandar. Kanak-kanak Melayu di luar bandar dan pedalaman tidak ada pilihan seperti ibu bapa di bandar yang banyak kemudahan prasekolah dan mampu untuk mendapatkan pendidikan prasekolah yang terbaik.

Kanak-kanak perlu mendapat pendidikan asas yang berkualiti agar mereka terus berjaya dalam pendidikan yang dialami pada peringkat yang lebih tinggi kelak. Justeru, adalah wajar kerajaan menambah peruntukan dalam memperkasa pendidikan prasekolah dengan membina lebih banyak kelas prasekolah yang berkualiti di luar bandar dan kawasan pedalaman di seluruh negara.

Kerajaan juga perlu memberi penekanan kepada aspek kecemerlangan pendidikan prasekolah seperti meningkatkan kualiti guru dan pembantu guru yang terlatih. Kriteria kelulusan minimum untuk guru prasekolah ialah Ijazah Sarjana Muda. Ia dapat menjamin pendidikan yang berkesan dan berkualiti seiring dengan kemajuan teknologi dan era globalisasi masa kini.

Bagi memperkasa Bahasa Melayu di peringkat awal lagi, bilangan guru yang mahir dan terlatih dalam bidang Bahasa Melayu perlu ditambah. Pembelajaran Bahasa Inggeris juga sebagai bahasa kedua perlu diberi perhatian di peringkat prasekolah lagi.

Selain itu, kemudahan asas pendidikan prasekolah yang mencukupi dan berkualiti di kawasan luar bandar dan pedalaman perlu ditingkatkan agar setanding dengan kemudahan prasekolah di bandar. Ia dapat menarik minat kanak-kanak untuk hadir ke kelas dan dapat belajar dalam keadaan selesa.

Kerajaan juga perlu meningkatkan perkongsian pintar di antara kerajaan dan swasta dalam pendidikan prasekolah. Bagi menarik minat pihak swasta, insentif perlu diberikan kepada pengusaha-pengusaha prasekolah swasta di luar bandar dan pedalaman. Ia akan menggalakkan pihak swasta untuk membina lebih banyak pusat pendidikan prasekolah yang berkualiti tinggi. Tetapi kerajaan perlu memantau dan menetapkan garis panduan kepada pusat pendidikan swasta agar ia menepati garis panduan ditetapkan.

Bagi membentuk kanak-kanak yang berakhlak tinggi dan mulia, pembelajaran Agama Islam adalah penting selain pembelajaran akademik. Mata pelajaran Agama Islam yang diberi penekanan termasuklah asas fardu ain, tulisan Jawi dan bahasa Arab.

Selain itu, penekanan perlu diberikan dalam amali solat dan juga hafazan doa-doa mudah. Pendedahan asas ini adalah penting bagi meneruskan kesinambungan di peringkat sekolah rendah, menengah dan seterusnya universiti. Bagi tujuan ini, kerajaan perlu menyediakan guru-guru yang terlatih dan berkelulusan dalam bidang agama yang diiktiraf.

Bagi merealisasikan hasrat mencapai objektif pendidikan prasekolah terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi membentuk sifat peribadi, perwatakan dan konsep diri yang positif untuk menjadi warganegara yang patriotik, kanak-kanak perlu diajar menggunakan Bahasa Melayu dengan betul.

Di samping itu, kanak-kanak juga perlu didedahkan menggunakan Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kedua.

Justeru, bajet pendidikan untuk kanak-kanak prasekolah, tidak hanya tertumpu bagi mencapai objektif dan faedah semasa dan duniawi sahaja, tetapi kita perlu kembali kepada peringatan al-Quran Surah Al-Imran: Ayat 187 yang bermaksud, ‘Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): Demi sesungguhnya hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya. Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu kebelakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu’.

Semoga dengan model pendekatan bagi pendidikan prasekolah yang menumpukan kepada pencapaian akademik cemerlang dan penerapan nilai-nilai agama, suatu hari nanti dapat membentuk insan yang berketerampilan mulia, ummah yang bertakwa dan bersatu dalam hala tuju pembangunan ummah dan negara.

Diharapkan. Bajet 2015 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada minggu depan akan memberi manfaat besar kepada murid-murid prasekolah ke arah melahirkan modal insan yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Namun demikian, faktor kejayaan setiap dasar atau perancangan adalah bergantung kepada usaha keras setiap warga pendidik dalam menggalas tanggung jawab dan peranan yang diamanahkan.

Soalan Bhg. C : Penggal 1

Panjang esei 350-400 patah perkataan

7 perenggan.

Kira jumlah perkataan dan tulis di hujung esei.

Jawab satu soalan dalam masa 35 minit.

LATIHAN PERSEDIAAN :

Aktiviti pemerdagangan manusia mengancam negara. Justeru tindakan perlu diambil untuk membanterasnya. Ulaskan.

Pembangunan modal insan merupakan tunjang pembangunan negara pada masa depan. Kerajaan melakukan pelbagai usaha untuk membangunkan modal insan negara. Bincangkan.

Usaha-usaha memupuk perpaduan kaum merupakan agenda utama nasional kerana menyedari kepentingannya. Bincangkan.

Globalisasi ekonomi dan sosiobudaya terus melanda negara. Justeru kita perlu bersedia menghadapi kesan-kesan negatif yang ditimbulkan kepada rakyat. Bincangkan.

Sistem pengangkutan awam yang baik perlu ada untuk menjadi negara berstatus maju. Namun sistem pengangkutan awam kita masih dibelenggu pelbagai kelemahan. Bincangkan.

Kerajaan melakukan pelbagai usaha untuk menghapuskan rasuah dalam sektor perkhidmatan awam namun masalah ini masih membarah. Bincangkan.

Kerajaan senantiasa berusaha untuk memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan awam. Bincangkan.

Tadbir urus yang baik amat penting dalam mendokong usaha memajukan negara. Ulaskan.

Industri kecil dan sederhana ( IKS ) memainkan fungsi penting dalam proses pembangunan negara. Namun demikian usaha-usaha memajukan IKS turut dilanda pelbagai cabaran. Bincangkan.

 SOALAN STPM 2013 :

Penetapan gaji minimum. Kebaikan.

Warisan budaya. Kepentingan dan langkah-langkah memelihara kelangsungannya.

Kraf tangan. Usaha-usaha mengekalkannya.

SOALAN STPM 2014 :

Selain daripada menguruskan pentadbiran negara, kerajaan juga mempunyai tanggungjawab yang lain. Bincangkan.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memperkasa pertahanan negara bagi memastikan kedaulatan negara kita terpelihara, namun terdapat pelbagai halangan untuk merealisasikan hasrat tersebut. Ulaskan.

Laman web rangkaian sosial, seperti Facebook, Friendster, MySpace dan Twitter telah menyerap dengan pantas dalam masyarakat di seluruh dunia. Namun begitu, ada pihak yang mencadangkan agar penggunaannya diharamkan. Bincangkan.