Archive | Penggal 3 RSS for this section

Komuniti ASEAN dan Belia

MALAYSIA sudah melakar sejarah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengetuai kalangan 10 pemimpin ASEAN memeterai Deklarasi Kuala Lumpur 2015 bagi penubuhan Komuniti ASEAN pada 22 November 2015. Dengan termeterainya deklarasi itu, maka penubuhan satu blok komuniti baharu di Asia Tenggara akan diwujudkan kelak, sekali gus menjadikan rantau ini sebagai satu suara berpengaruh di pentas antarabangsa. Penubuhan Komuniti ASEAN yang memberi fokus kepada tiga inisiatif atau tunggak utama merangkumi pembentukan Komuniti Ekonomi, Komuniti Politik dan Keselamatan serta Komuniti Sosiobudaya, mempunyai wawasan jangka panjang anggota ASEAN untuk mengerat dan memperkukuhkan kerjasama ekonomi, membina keyakinan serantau dan membentuk identiti masyarakat Asia Tenggara serta dapat membina rantau yang aman dan selamat. Kajian Komuniti ASEAN Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, belia (15-40 tahun) di Malaysia bagi 2014 sudah mencecah 45.9 peratus iaitu 30.3 juta orang. Bersesuaian dengan peranan Malaysia yang mempengerusikan ASEAN 2015, generasi belia dikenal pasti sebagai kelompok penting menjayakan hala tuju komuniti ASEAN dalam konteks Malaysia. Pemerhati serantau berpendapat, Komuniti ASEAN ini ada cabaran besar kerana wujudnya perbezaan budaya, kadar dan taraf pembangunan ekonomi yang terlalu tinggi seperti antara Singapura dan Laos serta sistem politik yang pelbagai. Tidak seperti proses pembentukan komuniti serantau lain seperti Kesatuan Eropah (EU), pembabitan masyarakat dalam pembentukan Komuniti ASEAN adalah minimum. Dasar dan proses pembentukan Komuniti ASEAN bersifat ‘top-down’. Sejauh manakah generasi muda dan belia memahami pembentukan Komuniti ASEAN ini dari sudut impak dan kesempatan? Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui agensinya Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) berjaya melaksanakan satu kajian secara empirikal bagi mendapatkan maklum balas belia terhadap pelaksanaan Komuniti ASEAN. Seramai 5,032 responden di seluruh Malaysia terbabit dalam kajian ini meliputi belia bandar dan juga luar bandar. Hasil kajian ini mendapati tahap kesedaran belia Malaysia terhadap Komuniti ASEAN masih pada tahap sederhana. Seramai 59.8 peratus menyatakan pernah mendengar mengenai Komuniti ASEAN, tetapi kurang maklum berhubung pelaksanaan tiga tunggak komuniti ASEAN, iaitu Komuniti Keselamatan, Komuniti Ekonomi dan Komuniti Sosio-Budaya. Walaupun kesedaran dan pengetahuan terhadap pelaksanaan ini minimum, majoriti responden mempamerkan sikap positif terhadap konsep dan pelaksanaan komuniti ASEAN. Hasil analisis menunjukkan kurangnya promosi serta hebahan mengenai ASEAN menjadi faktor penghalang ke atas kesedaran belia Malaysia terhadap kedudukannya dalam ASEAN. Impak kepada belia dan masyarakat Menerusi Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini, komitmen Malaysia untuk merealisasikan Komuniti ASEAN ditekankan oleh Perdana Menteri. Komuniti ASEAN adalah inti pati yang sangat penting, acuan komuniti ASEAN yang ingin digarap oleh Malaysia adalah dengan mewujudkan komuniti ASEAN bersifat ‘political cohesive’ (padu dari segi politik) dan bersepadu (integrated), manakala daripada segi ekonomi yang lebih kukuh serta mantap dari segi pembangunan sosial dan kebudayaan. Ia membabitkan kaedah untuk menyedia dan memperkukuhkan proses penyepaduan bagi merealisasikan Komuniti ASEAN berasaskan peraturan dan berorientasikan rakyat serta ASEAN berpaksikan rakyat bagi mengatasi jurang pembangunan. Komuniti ASEAN akan memberi nilai tambah dan manfaat kepada Malaysia. Berdasarkan aspek sosial dan budaya, komuniti ASEAN akan mengembangkan lagi budaya Malaysia menjadi sebahagian dari budaya serantau. Tambahan lagi, dengan pengenalan saluran Baru televisyen ASEAN yang dikenali dengan ASEAN-Go, serta mobiliti pelancongan serantau, Malaysia akan menarik lebih banyak pergerakan rakyat ASEAN ke negara ini. Dari aspek ekonomi, pengurangan dan penghapusan cukai atau tarif barangan oleh negara anggota memberikan Malaysia pasaran yang lebih besar untuk produknya. Pada 18-2 November 2015, Kementerian Belia dan Sukan berjaya menganjurkan ‘ASEAN Young Leaders Summit 2015’ (AYLS 2015) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Menerusi AYLS’15 menghasilkan ‘Youth Manifesto for ASEAN’ yang mengandungi dua manifesto bagi setiap skop yang melengkapkan kepada penghasilan lapan manifesto yang disarankan untuk dilaksanakan bagi memastikan Gagasan Komuniti ASEAN menyentuh dan dapat dirasai oleh generasi belia pada peringkat negara ASEAN.

Serangga dan Makanan Dunia

DURIAN adalah sejenis buah yang amat digemari rakyat Malaysia. Bagaimanapun durian bergantung kepada kelawar untuk pendebungaan. Kekurangan bilangan kelawar akan mengakibatkan kurangnya buah durian dalam pasaran. Durian dan tanaman lain seperti kelapa sawit, kopi, koko, mangga, tembikai gajus dan badam semuanya bergantung kepada serangga yang berperanan sebagai agen pendebungaan yang terdiri daripada lebih 20,000 spesies lebah, kupu-kupu, rama-rama, penyengat, kumbang, unggas dan kelawar. Pendebungaan adalah satu perkhidmatan ekosistem yang penting kepada tumbuh-tumbuhan ini. Malangnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pakar semakin bimbang masalah yang menimpa populasi serangga ini disebabkan oleh tekanan kegiatan manusia. Ini termasuk kegiatan pengindustrian, pertanian dan penggunaan racun perosak yang melampau, pencemaran dan perubahan iklim. Bermula pada 22 hingga 28 Februari, Malaysia menjadi tuan rumah kepada satu persidangan global yang membincangkan masalah pengurangan agen pendebungaan ini dan akan mengutarakan beberapa cadangan untuk mengatasi masalah ini. Perhimpunan di Kuala Lumpur ini dihadiri 124 negara anggota Badan Penasihat Mengenai Perkhidmatan Kepelbagaian Biologi dan Ekosistem atau Intergovenmental Platform on Biodiversity and Ecosystem Services (IPBES) yang akan bertemu bagi perbincangan plenari nanti. Peka kepelbagaian biologi Malaysia dipilih sebagai lokasi sidang plenari keempat IPBES berdasarkan kepemimpinan kita dalam isu alam sekitar dan kepelbagaian biologi sejak lebih 20 tahun lalu. Ia bermula dengan kepemimpinan kita di mesyuarat Kemuncak Bumi di Rio di Janeiro pada 1992. Malaysia bukan sahaja peka terhadap pemuliharaan kepelbagaian biologi tetapi juga memperjuangkan hak negara untuk terus membangun demi kesejahteraan rakyat, sekali gus pendekatan yang diambil bertujuan mengimbangi pemuliharaan dan pembangunan sosial. Dalam beberapa mesyuarat persediaan pembentukan IPBES, Malaysia adalah tuan rumah yang pertama proses ini apabila kita menjadi hos pada mesyuarat yang diadakan di Putrajaya pada 2008. IPBES ditubuhkan pada 2012 sebagai sebuah badan yang berfokus kepada kepelbagaian biologi serta ekosistem dan mirip kepada Platform Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim atau Intergovernmental Platform on Climate Change (IPCC), yang mana kedua-duanya menggalakkan dialog di antara kumpulan ahli sains dengan pemimpin politik dan kumpulan pembuat polisi. Satu isu pokok yang akan diperdebatkan adalah mengenai peranan agen pendebungaan terhadap pengeluaran makanan. Data yang terkumpul setakat ini membayangkan ada pengurangan bilangan spesies haiwan dan serangga ini. Ini berkemungkinan mempunyai kesan negatif terhadap pengeluaran hasil tanaman dan juga spesies kayu kayan yang menjadi punca pendapatan di kebanyakan negara tropika. Persidangan ini juga akan memberi beberapa cadangan yang boleh diambil oleh semua negara untuk mengatasi masalah ini. Ekonomi negara kita khususnya sektor perladangan kelapa sawit, mempunyai sejarah dan kaitan rapat dengan serangga pendebungaan. Suatu masa dahulu untuk mendapatkan buah kelapa sawit yang berkualiti tinggi, pokok ini perlu didebungakan dengan bantuan manusia. Pada awal 1980-an melalui penyelidikan dijalankan beberapa ahli sains mendapati pendebungaan yang berkesan boleh dilakukan oleh sejenis kumbang yang berasal dari benua Afrika. Kumbang ini diperkenalkan di ladang kelapa sawit dan berjaya meningkatkan pengeluaran buah, malah menjimatkan kos guna tenaga manusia sebanyak RM400 juta setahun dan meningkat berlipat kali ganda pada hari ini. Beberapa persoalan jadi perhatian Di samping itu, mesyuarat yang akan diadakan nanti juga akan mengkaji beberapa persoalan penting berkaitan pendebungaan di antaranya apakah peranan agen pendebungaan dalam pengeluaran makanan, adakah perkhidmatan pendebungaan bernilai dari segi ekonomi, adakah pendebungan liar atau yang diuruskan berada dalam keadaan yang membimbangkan di peringkat tempatan dan global dan jika ya, apakah implikasinya terhadap makanan, kesihatan dan keselamatan pemakanan, apakah implikasi sosial dan ekonomi terhadap pengurangan agen pendebungaan, apakah punca menyebabkan pendebungaan semakin berkurangan dan apakah pilihan yang ada untuk melindungi agen pendebungaan serta bagi memulihkan perkhidmatan pendebungaan? Pada penghujung mesyuarat ini nanti adalah dijangkakan beberapa garis panduan untuk membanteras masalah bilangan agen pendebungaan ini akan dicadangkan. Di samping itu, beberapa objektif lain pada mesyuarat kali ini adalah pengumuman penilaian global bagi biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem IPBES baru yang dijangka akan diterbitkan pada 2019 serta juga pemilihan Pengerusi yang baru bagi menggantikan tempat saya. Pada Disember tahun lalu di Paris, pada mesyuarat perubahan iklim COP 21, masyarakat dunia mengambil tindakan berani untuk mengatasi masalah pemanasan global dan mencadangkan langkah yang perlu diambil untuk menstabilkan suhu dunia. Perbincangan yang akan diadakan pada minggu ini adalah sesuatu yang kritikal untuk menjamin masa depan kita bersama dan IPBES adalah satu badan yang boleh memenuhi hasrat ini dengan cara mengeratkan lagi hubungan di antara kumpulan ahli sains dengan pemimpin politik dan kumpulan pembuat polisi. Malaysia mengalu-alukan perwakilan IPBES dari serata dunia dan ini juga adalah satu bukti kewibawaan negara dalam hubungan antarabangsa.
# Penulis ialah Penasihat Sains kepada Perdana Menteri

Globalisasi

Pengenalan

Globalisasi bererti dunia tanpa sempadan akibat kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi
Berlaku aliran barangan, perkhidmatan, idea dan maklumat secara bebas antara negara tanpa sekatan. Globalisasi membawa kebaikan dan keburukan.

Isi-Isi

Kesan-Kesan Baik
1. Globalisasi memajukan ekonomi negara

Kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mempergiat perdagangan antarabangsa
Peniaga dapat meluaskan pasatan ke seluruh dunia
Persidangan video, internet dan e-mel telah memudahkan perhubungan
E-dagang dan e-perbankan juga dapat dijalankan
Peniaga dan pengguna menual dan membeli barangan melalui intrnet
Ekonomi negara berkembang pesat

2. Globalisasi mewujudkan persefahaman sejagat

Sistem komunikasi yang menghubungkan seluruh dunia memudahkan interaksi
Pertukaran pengetahuan, pengamalan budaya dan sebagainya bergerak dengan bebas
Menjalin hubungan erat dan mengurngkan salah faham
Peristiwa yang berlaku di seluruh dunia dapat diketahui dengan serta-merta
Membolehkan bantuan diberikan dengan segera

3. Pemindahan teknologi bertambah pesat

Pelaburan asing membawa teknologi baru ke sesebuah negara
Pelabur asing menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D)
Rakyat tempatan berpeluang untuk mempelajari dan memiliki teknologi canggih
Rakyat tempatan mampu menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

4. Politik

Hubungan yang erat dalam bidang politik antara Malaysia dengan negara-negara lain akan memberi kesan yang baik dalam bidang yang lain seperti bidang ekonomi dan sosial .
Kebanyakan kerajaan telah menggubal peraturan global dan institusi untuk menangani isu seperti perdagangan, hak asasi, dan alam sekitar.

5. Sosial

Sistem pendidikan akan terus berkembang maju dengan adanya internet. Pendidikan jarak jauh dapat dilaksanakan dengan berkesan sama ada di dalam atau di luar negeri. Pendidikan bertaraf dunia dapat diwujudkan di Malaysia dalam era globalisasi.
Pendedahan pelbagai maklumat kepada rakyat Malaysia conth: bidang perubatan- makanan berkhasiat, senaman yang betul.
Ilmu-ilmu ini menjadikan rakyat Malaysia berilmu pengetahuan yang luas.

6. Ekonomi

Wujudnya perdagangan bebas, pengaliran modal secara bebas, menggalakkan persaingan, peluasan pasaran,peningkatan kualiti prosuk dan berlakunya aliran buruh mahir dan separa mahir(pemangkin kepada kemajuan negara)
Syarikat-syarikat multinasional Malaysia juga telah meningkat pelaburan mereka ke seluruh dunia seperti Syarikat Telekom Malaysia Berkad, Maybank dan Petronas – sebaris dengan syarikat gergasi luar negara.

Kesan-Kesan Buruk
1. Globalisasi menyebabkan penjajahan ekonomi

Kedudukan ekonomi negara mundur dan negara sedang membangun diketahui negara maju.
Negara maju dapat memanipulasikan ekonomi negara-negara lain demi kepentingannya
Negara maju mempengaruhi minda penduduk Dunia Ketiga

2. Globalisasi menyebabkan pencemaran budaya

Budaya liar dari Barat dapat disebarkan melalui internet dan televisyen satelit
Budaya liar ini langsung tidak ditapis
Generasi muda terikut-ikut akan nilai runtuh
Budaya Barat menjadi dominan
Budaya tempatan yang murni akhirnya terkikis
Anak tempatan hilang identiti diri dan runtuh akhlaknya

3. Politik

Campur tangan atau bantuan kepada kumpulan-kumpulan tertentu untuk menggulingkan kerajaan sedia ada seperti negara Afghanistan, Libya, Iraq, Sudan, Mesir dan lain-lain atas alasan mereka membangunkan senjata nuklear atau memberi latihan kepada kumpulan pengganas
Pengintipan untuk mendapatkan maklumat oleh negara-negara maju terhadap musuh mereka.
Penggodaman sistem pertahanan – mencari kekuatan dan kelemahan sistem pertahanan sesebuah negara

4. Pendidikan

Peminggiran penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu – bahasa Inggeris lebih diutamakan terutamanya IPTS bahasa Inggeris digunakan dalam internet
Penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar kurang baik

5. Ekonomi

Penghakisan dasar perlindungan produk tempatan – produk tempatan tidak lagi dilindungi dan terpaksa bersaing dengan produk luar negara
Monopoli syarikat multinasional – syarikat-syarikat kecil akan ketinggalan dan seterusnya terpaksa gulung tikar keranatidak mampu bersaing dengan syarikat-syarikat besar dalam dan luar negara.
Ancaman terhadap barangan dan perkhidmatan tempatan
Ancaman ke atas industri kecil dan sederhana (IKS)
Kesukaran untuk mengawal aliran modal asing dan penghakisan kedaulatan ekonomi negara.
Serangan mata wang – nilai mata wang negara jatuh – kemelesetan ekonomi berlaku
Manipulasi pasaran sahan saham – menyebabkan pasaran saham tempatan jatuh dan akan menyebabkan ekonomi Malaysia jatuh kerana pelabur-pelabur asing akan hilang keyakinan terhadap keyakinan ekonomi Malaysia

6. Teknologi

Penyalahgunaan teknologi akan membahayakan manusia seperti teknologi nuklear – boleh dibuat senjata nuklear, kebocoran tenaga nuklear
Teknologi pembuatan senjata-senjata moden telah banya memusnahkan kehidupan manusia
Pengintipan yang dilakukan oleh negara-negara maju melalui satelite untuk mendapatkan maklumat negra-negara musuh mereka.

Penutup

Globalisasi telah membawa kesan yang besar
Penduduk dunia perlu bersedia untuk menghadapi kesan globalisasi
Dengan cara ini, barulah globalisasi benar-benar mendatangkan faedah kepada kita

Biodiversiti

Biodiversiti merupakan khazanah yang tidak ternilai dan menjadi warisan kepada generasi akan datang. Mendengar istilah biodiversiti mungkin ada di antara kita yang masih belum jelas mengenai takrifannya. Perkataan biodiversiti sebenarnya merupakan perkataan singkatan bagi ‘biological diversity’ ataupun kepelbagaian biologi yang mana ia didefinisikan sebagai keanekaan di antara organisma hidup daripada pelbagai sumber baik daratan mahupun samudera dan lain-lain yang melangkaui ekosistem akuatik dan sebahagian daripada ekosistem yang kompleks yang termasuk di dalam kelompok spesies dan antara spesies dan ekosistemnya.Biodiversiti terbahagi kepada tiga peringkat iaitu kepelbagaian genetik, kepelbagaian spesies dan kepelbagaian ekosistem.

Kepelbagaian genetik merupakan kepelbagaian di dalam spesies yang diukur mengikut variasi dalam gen setiap tumbuhan, haiwan dan mikroorganisma. Kepelbagaian genetik berlaku dalam dan di antara populasi sesuatu spesies. Bagi kepelbagaian spesies pula ia merujuk kepada pelbagai organisma hidup di dunia. Manakala kepelbagaian ekosistem pula adalah merujuk kepada pelbagai habitat, komuniti biosis dan proses ekologi dalam persekitaran daratan, laut dan persekitaran akuatik yang lain. Read More…

Keselamatan Makanan

Makanan merupakan satu keperluan hidup yang perlu dipenuhi alam apa jua status ekonomi.

Mahu atau tidak, seorang manusia perlu makan sekurang-kurangnya tiga kali sehari bagi menampung keperluan tenaga seharian.

Namun, dalam situasi populasi dunia semakin bertambah, keadaan cuaca yang tidak menentu, adakah Malaysia bersedia menghadapi pelbagai bentuk ancaman seperti sekuriti makanan.Berdasarkan rekod penduduk dunia kini mencecah tujuh bilion.

Mengikut definisi yang dipetik daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), sekuriti makanan akan wujud apabila setiap manusia pada setiap masa memiliki akses fizikal dan ekonomi untuk mendapatkan makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat bagi memenuhi keperluan diet dan cita rasa mereka supaya dapat hidup aktif dan sihat.

Ringkasnya unsur utama sekuriti makanan ialah kecukupan, kebolehdapatan, keselamatan, berkhasiat dan mampu beli.

Dalam konteks negara kita, objektif sekuriti makanan akan tercapai melalui peningkatan produktiviti dan kapasiti pengeluaran hasil pertanian.

Menurut bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Abdul Shukor Abd. Rahman, Malaysia pernah mengalami krisis makanan pada tahun 2008, namun hal demikian tidak berlaku secara berterusan dan dalam jangka masa yang lama.

Perkara itu terjadi ekoran kekurangan makanan tertentu berlaku ketika musim perayaan disebabkan permintaan yang tinggi melebihi daripada biasa atau semasa cuaca yang tidak menentu yang menyebabkan kerosakan kepada 
tanaman.

“Situasi sekuriti makanan di negara kita tidak segenting berbanding dengan negara seperti di Afrika atau Asia Selatan.

“Di negara tersebut, selain faktor perubahan cuaca, kekurangan infrastruktur perladangan dan sokongan input pertanian turut menyumbang kepada pengurangan produktiviti dan menjejaskan sekuriti makanan,” katanya.

Namun, pelbagai andaian serta spekulasi tentang punca kemerosotan makanan utama seperti padi seolah-olah memperlihatkan Malaysia bukanlah sebuah negara kuat. Ini kerana sesebuah negara yang disifatkan kuat perlu memiliki sumber makanan yang mencukupi.

Tambahnya, dalam usaha kerajaan mentransformasikan ekonomi negara beberapa perubahan dasar telah dilaksanakan daripada ekonomi yang berpandukan komoditi pertanian kepada ekonomi yang berorientasikan pembuatan dan perkhidmatan.

Perubahan tersebut tidak bermakna industri pertanian diabaikan. Malah ia diperkukuhkan melalui pelbagai inisiatif yang digariskan dalam Dasar Agro Makanan Negara (2011-2020) dan Dasar Pertanian Negara sebelum itu.

Berdasarkan kepada Dasar Agro Makanan Negara, penggunaan per kapita beras bagi penduduk Malaysia menunjukkan trend yang menurun daripada 79.6 kilogram (kg) pada 2010 dan dianggarkan menurun kepada ke 78.4kg pada 2015 dan 77 kg pada 2020.

Ini menunjukkan penduduk negara ini semakin kurang mengambil beras sebagai sumber kalori dan menggantikannya dengan makanan berasaskan gandum dan sebagainya.

Trend itu jelas dengan peningkatan taraf hidup dan pendapatan apabila pengguna mempunyai pelbagai pilihan untuk memenuhi keperluan nutrisi mereka.

Walaubagaimanapun katanya, produktiviti pengeluaran padi menunjukkan trend yang meningkat daripada 3.9 tan sehektar pada 2005 kepada empat tan sehektar pada 2010 dan dijangka terus meningkat kepada lima tan sehektar pada 2020.

Malah, di beberapa kawasan jelapang padi, peningkatan produktiviti sebanyak 5.5 tan sehektar berjaya dicapai.

Ini menunjukkan bahawa pengeluaran padi akan terus dipertingkatkan bagi menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Beliau mengakui negara ini pernah mengalami krisis makanan yang serius pada 2008 sekali gus memberi kesan negatif kepada sekuriti makanan.

Ketika itu, katanya, krisis makanan juga berlaku di peringkat global dan pada masa itu juga, harga barang makanan meningkat antara 50 peratus hingga 200 peratus.

Namun usaha kerajaan memperkenalkan Dasar Sekuriti Makanan Negara pada 2008 telah berjaya mengatasi masalah tersebut melalui peningkatan produktiviti pertanian, khususnya padi, bekalan bahan makanan yang cukup dan selamat kepada pengguna dan memastikan pengeluar terdiri daripada petani, penternak dan nelayan memperoleh pendapatan yang mencukupi.

Antara projek yang telah memberi kesan bagi mengatasi masalah itu ialah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Ladang Kontrak, Zon Industi Akuakultur (ZIA), pembangunan kawasan terbiar, pengurusan stok penimbal beras yang cekap dan memperkukuhkan jaringan pemasaran.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin berkata, Malaysia mempunyai bekalan makanan apabila individu, isi rumah atau semua rakyatnya boleh mendapat makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat untuk hidup sihat dan aktif.

Ini bermaksud secara keseluruhanya, negara kita tidak mempunyai masalah daripada segi bekalan makanan dalam aspek dimensi kedapatan makanan.

Jelasnya, Malaysia, walaupun mempunyai kecukupan makanan termasuk hasil dari tanaman, ternakan dan perikanan, tetapi masih lagi menjadi pengimport bersih makanan.

“Walaupun kita telah mencapai kadar sara diri untuk perikanan yang melebihi 100 peratus, tetapi kebanyakannya adalah hasil dari tangkapan ikan yang berkemungkinan tidak mapan sementara pengeluaran ikan daripada akuakultur perlu diperluas dan ditambah untuk menjamin bekalan yang mencukupi pada masa akan datang,” jelasnya.

Salah satu faktor yang mempengaruhi kekurangan bahan makanan ialah kos pengeluaran yang tinggi.

Menurut Abdul Shukor, produktiviti sektor pertanian banyak bergantung kepada penggunaan input pertanian seperti baja dan racun serangga yang mencukupi.

Sejak kebelakangan ini, kos input pertanian khususnya baja dan racun serangga telah meningkat dan memberi kesan negatif kepada kecekapan pengeluaran dari segi input pertanian yang diimport dari luar negara.

Selain itu kekurangan buruh dan kosnya yang tinggi juga merupakan penyumbang utama kepada pengeluaran bahan makanan secara lestari.

Aktiviti pertanian masih memerlukan tenaga kerja manual yang kebanyakannya diperoleh dari negara luar.

Sektor pertanian terpaksa bersaing dengan sektor lain dalam penggunaan tenaga buruh seperti dalam industri pembuatan dan perkhidmatan yang lebih diminati oleh pekerja.

Keadaan cuaca yang tidak menentu dan sering berubah memberi impak yang besar kepada produktiviti pengeluaran tanaman, ternakan dan perikanan.

“Cuaca ekstrem yang panas melampau atau banjir besar boleh menyebabkan kerosakan tinggi yang menjejaskan bekalan bahan makanan untuk kegunaan tempatan.

“Fenomena perubahan cuaca itu berlaku di peringkat global dan memerlukan pendekatan bersama bagi mewujudkan kaedah adaptasi atau mitigasi bagi mengatasi kesan negatifnya,” katanya.

Sementara kekurangan kawasan pengeluaran yang sesuai untuk aktiviti pertanian semakin ketara turut menjadi penyumbang kepada faktor pengeluaran makanan. Ini disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya termasuklah kawasan pertanian telah diambil untuk memberi laluan kepada pembangunan infrastruktur dan pembukaan kawasan kediaman dan premis perniagaan.

Oleh itu, pengeluaran bahan makanan terpaksa berpindah di kawasan yang tidak begitu sesuai atau kurang produktif sekali gus melibatkan kos yang tinggi diperlukan untuk membina semula infrastruktur pertanian seperti sistem pengairan, pengangkutan dan sebagainya yang 
akan meningkatkan kos pengeluaran.

Kerosakan dan kehilangan lepas 
tuai bagi hasilan pertanian juga menyumbang kepada kekurangan bahan makanan.

Kajian yang dijalankan MARDI menunjukkan kehilangan lepas tuai bagi padi boleh mencapai 20 peratus manakala bagi buah-buahan dan sayur sayuran segar pula adalah di antara 20 hingga 50 peratus.

Ini disebabkan oleh pengendalian yang tidak teratur dan sistematik yang hasilnya mudah terdedah kepada kerosakan mekanikal atau pencemaran penyakit semasa pengendalian daripada penuaian hingga ke peringkat penggunaan.

Mengakui tidak pasti akan tahap kesedaran orang ramai berhubung isu ini, Prof. Dr Mad Nasir Shamsuddin memberitahu, masalah tersebut perlu kebimbangan orang ramai memandangkan ia berkait rapat dengan pendapatan mereka.

Pendapatan mereka akan terjejas jika harga makanan naik secara mendadak.

Makanan adalah komponen tertinggi dalam Indek Harga Pengguna (IHP) sebanyak 30.3 peratus.

Sejak tahun 2008, secara keseluruhannya, harga makanan telah naik lebih tinggi berbanding harga barangan dan perkhidmatan.

Sebagai contoh, pada Januari lalu, indeks harga makanan naik 2.8 peratus manakala indeks bukan makanan naik 0.2 peratus berbanding dengan bulan sama pada 2014.

Ini kerana kenaikan harga barang juga memainkan peranan kepada sekuriti makanan terutamanya yang diimport.

“Sekiranya negara cukup kedapatan makanan sama ada melalui pengeluaran sendiri atau import, tetapi segolongan rakyat tidak mampu membelinya, maka kita mengalami krisis makanan daripada segi kebolehcapaian mereka untuk membeli atau mendapatkan makanan yang cukup untuk hidup sihat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, isu membabitkan sekuriti makanan boleh diatasi dengan mengambil kira keempat-empat dimensinya iaitu kedapatan, kebolehcapaian, penggunaan dan kesetabilan.

Bukan itu sahaja, malah turut memerlukan strategi daripada aspek pengeluaran, penggunaan, jaringan keselamatan dan perkhidmatan alam sekitar.

Mengenai pengeluaran makanan, negara memerlukan pelaburan yang lebih besar dalam penyelidikan dan pengembangan R&D) untuk meningkat produktiviti.

Selain itu, ia memerlukan usahawan tani yang boleh mengusahakan pengeluaran makanan secara komersial dan berteknologi tinggi.

Kepesatan pembangunan Malaysia juga penyebab penduduk bandar meningkat kepada 71 peratus pada tahun 2010 dibandingkan dengan 62 peratus dalam tahun 2000 dan dianggarkan akan terus meningkat kepada 75 peratus dalam tahun 2020.

Penduduk bandar akan menghadapi pelbagai cabaran besar termasuk kenaikan harga makanan dan ini akan mengakibatkan peningkatan kos sosial dan ekonomi.

Dalam situasi begini, golongan miskin bandar akan terdedah kepada kesulitan untuk mendapatkan makanan yang cukup dan berzat ekoran daripada kuasa membeli yang rendah dan peningkatan harga makanan.

Pertanian bandar adalah satu inisiatif yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kecapaian, kecukupan dan kualiti makanan dalam kalangan penduduk bandar yang juga boleh menjadi punca sumber pendapatan, menyediakan ruang hijau dan menyumbangkan kepada pembangunan masyarakat yang sejahtera.

Dalam masa yang sama, pertanian bandar juga boleh membantu mengurangkan kepanasan bandar, mengimbangi ekosistem dan sumber semula jadi.

Dari segi penggunaan pula, negara perlu mempromosi pemprosesan lepas tuai , pemasaran dan penggunaan yang efisien.

Data dari negara ASEAN menunjukkan bahawa kehilangan lepas tuai untuk hasil pertanian adalah dalam lingkungan 10 hingga 30 peratus.

Pemasaran yang cekap dapat mengurangkan kos barang makanan dan ini dapat meningkatkan kecapaian sekuriti makanan negara.

Program jaringan keselamatan juga perlu disemarakkan untuk menangani kos sara hidup.

“Latihan yang ada sekarang yang dapat meningkatkan keupayaan kemahiran perlu diteruskan dan mesti ditujukan kepada mereka yang memerlukan.

“Satu perkara yang kita sering lupa adalah pertanian bukan sahaja pembekal bahan makanan, tetapi ia juga mempunyai berbagai fungsi termasuk memelihara alam sekitar.

“Justeru, pengeluar bahan makanan perlu diberi insentif dari segi pulangan, bukan sahaja pengeluarnya, tetapi juga dari sumbangan kepada pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Utusan Malaysia.

Teknologi Hijau

Apabila sesebuah negara semakin pesat membangun, populasinya semakin meningkat. Ini menyebabkan kadar permintaan terhadap sesuatu keperluan adalah tinggi. Gaya hidup manusia yang mahukan kehidupan lebih baik seperti rumah, bekalan elektrik dan air, kereta dan lain-lain menyebabkan permintaan terhadap sumber semula jadi semakin meningkat.

Pengurusan sumber semula jadi yang tidak terancang seperti pembalakan tidak terkawal, penerokaan tanah secara berleluasa, pelepasan gas karbon dioksida ke atmosfera, pembuangan sisa pepejal dan sebagainya menyebabkan pencemaran. Jika pengurusan sumber semula jadi ini tidak diuruskan dengan baik, ia turut menjejaskan kualiti hidup manusia dan alam sekitar.

Justeru, masyarakat dunia kini menghadapi dua cabaran utama, iaitu isu perubahan iklim dan keselamatan tenaga. Kedua-dua isu ini harus ditangani secara kolektif dan efektif. Satu pendekatan yang kritis amatlah penting.

Berdasarkan keperluan ini, teknologi hijau menjadi portfolio Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, (KeTHHA) yang ditubuhkan pada 9 April 2009. Teknologi hijau mempunyai peranan strategik yang lebih jauh daripada setakat mencapai autonomi tenaga dan menangani perubahan cuaca.
Teknologi hijau turut membantu pembangunan masyarakat berilmu yang mendorong ke arah mempraktikkan tenaga lestari dan cara hidup lebih baik. Kita boleh hidup lebih lestari jika kita menjadi seorang yang lebih celik alam sekitar, belajar daripada alam semula jadi, hidup dengan lebih sederhana dan menjadi rakyat yang aktif dalam membangunkan alam sekitar.

Teknologi hijau adalah pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi, dan meminimumkan kesan negatif daripada aktiviti manusia.

Teknologi hijau merujuk produk, peralatan atau sistem yang memenuhi kriteria seperti meminimumkan degradasi kualiti persekitaran, mempunyai pembebasan gas rumah hijau yang rendah atau sifar, selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan, menjimatkan tenaga dan sumber asli dan menggalakkan sumber yang boleh diperbaharui.

Ia adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk.

Dasar Teknologi Hijau

Dasar Teknologi Hijau Negara (DTHN) dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Julai 2009 dan menekankan aspek pemacuan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan mapan. Pembangunan mapan hendaklah memenuhi keperluan masyarakat masa kini tanpa mengabaikan keperluan generasi akan datang.

Ia adalah berasaskan empat tunggak iaitu tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Dari aspek tenaga, teknologi hijau mencari kaedah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pada masa sama mempromosikan kecekapan guna tenaga. Dari aspek alam sekitar, kesan kepada alam sekitar dapat diminimumkan dan dipelihara.

Dari aspek ekonomi, teknologi hijau meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi. Dari segi sosial pula, kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan.

Seperti kita semua sedia maklum, pemanasan global dikaitkan dengan kenaikan suhu dunia. Dunia dikatakan semakin hari semakin panas. Kenaikan elemen suhu di seluruh dunia ini berkait rapat dengan aktiviti manusia yang mengganggu keseimbangan sistem bumi khususnya sistem atmosfera.

Fenomena pemanasan global

Dari sudut imbangan haba, fenomena pemanasan global memberi makna wujudnya ketidakseimbangan dalam bajet haba. Input haba diterima oleh sistem bumi berlebihan berbanding outputnya. Justeru, kenaikan suhu pada semua skala sama ada mikro atau makro.

Mengikut Profesor James G Titus dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat: ‘Terdapat peningkatan suhu dunia antara 0.4 hingga 0.5 darjah Celsius pada setiap lima tahun bermula pada tahun 1952. Dianggarkan antara tahun 1990 hingga 2025 suhu dunia akan meningkat antara 0.8 hingga 3.6 darjah Celsius.’

Pemanasan global terjadi melalui dua mekanisme penting iaitu melalui kesan rumah hijau dan juga penipisan lapisan ozon. Walaupun terdapat punca semulajadi, tetapi aktiviti manusia lebih banyak menyumbang terhadap kedua-dua mekanisme di atas. Kesan rumah hijau banyak disumbangkan oleh gas karbon dioksida.

Lantaran itu penekanan terhadap ‘teknologi hijau’ adalah alternatif tepat dalam menangani masalah kesan rumah hijau ini selaras dengan agenda utama kerajaan seluruh dunia pada masa kini yang memberi keutamaan kepada isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca.

Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.

Seperti yang kita tahu, teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semula jadi bagi menangani impak negatif aktiviti manusia seperti pengeluaran asap hitam yang membahayakan oleh kilang, penggunaan bahan bakar kenderaan bermotor, pemusnahan alam semula jadi, pencemaran sungai, pelepasan karbon ke udara dan sebagainya. Teknologi hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding teknologi sedia ada.

Untuk menggalakkan pembangunan aktiviti teknologi hijau, kerajaan telah menyediakan insentif berikut:

1) Dalam Bajet 2010 memperuntukkan RM1.5 billion sebagai pinjaman mudah kepada pengeluar serta pengguna Teknologi Hijau di seluruh Negara melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS);

2) Pemilik bangunan yang memperoleh sijil Indeks Bangunan Hijau (GBI) mulai 24 Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014 diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan perbelanjaan modal tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan;

3) Pembeli rumah yang memperoleh sijil GBI daripada pemaju hartanah diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik; dan

4) Jumlah pengecualian adalah bersamaan dengan kos tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan. Pengecualian ini adalah layak bagi pembeli yang menyempurnakan perjanjian jual beli mulai 24

Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014.
Manfaat teknologi hijau

Umumnya, teknologi hijau memfokuskan kepada empat kebaikan. Dari aspek tenaga, teknologi hijau diharapkan dapat membantu mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga negara. Teknologi hijau merangkumi sumber tenaga seperti angin, air, solar, hibrid dan lain-lain yang bersumberkan alam semula jadi.

Teknologi hijau terbukti lebih cekap kerana ia boleh menjana tenaga dalam pelbagai keadaan dengan kos murah, selamat dan mesra pengguna. Ini dapat dibuktikan melalui pengalaman dan amalan di negara maju yang telah membangunkan industri ini sejak sekian lama.

Teknologi hijau dapat membantu memulihara dan meminimumkan kesan buruk kepada alam sekitar. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat jika dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minimum. Ia dapat meningkatkan dan melindungi ekosistem dan kepelbagaian hidup, meningkatkan kualiti udara dan air, mengurangkan pembuangan bahan tercemar dan melindungi sumber semula jadi.

Dari aspek ekonomi, teknologi ini mampu meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua kehidupan manusia dan biodiversiti umumnya.

Teknologi hijau mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Ia dapat membantu mengurangkan kos operasi, meningkatkan nilai aset dan keuntungan. Teknologi ini juga dapat meningkatkan produktiviti dan kepuasan pekerja. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Prestasi kitar hidup ekonomi juga dapat dioptimumkan.

Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk ‘hijau’ yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenal pasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk Malaysia.

Dari segi komuniti, teknologi hijau dapat meningkatkan kualiti udara, terma dan bunyi persekitaran. Contoh, penggunaan kereta enjin hibrid. Hal ini dapat meningkatkan keselesaan dan kesihatan penghuni bandar, mengurangkan masalah infrastruktur tempatan dan meningkatkan kualiti hidup.

Antara bangunan hijau di Malaysia ialah Pusat Tenaga Malaysia (PTM), iaitu bangunan hijau berkonsepkan bangunan tenaga rendah dan mesra alam, selain dilengkapi sistem building integrated photovoltaic (BIPV) yang mesra alam kerana tidak mencemar selain mengurangkan penggunaan tenaga daripada sumber bahan api fosil.

Tonggak utama DTHN meliputi tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Walau bagaimanapun, kesungguhan kerajaan menggerakkan pembangunan dan penggunaan teknologi hijau tidak akan menghasilkan impak yang diharapkan tanpa bantuan dan kesedaran rakyat.

Berikutan itu, dana sebanyak RM20 juta diperuntukkan kerajaan untuk memperhebat aktiviti kesedaran rakyat mengenai perlunya menghijaukan persekitaran dan mengamalkan budaya hidup yang mesra alam. Ini selaras dengan strategi pelaksanaan DTHN iaitu mempertingkat promosi dan kesedaran awam mengenai teknologi hijau dan kepenggunaannya.

Langkah kerajaan memajukan teknologi hijau

Usaha ini juga sejajar dengan keputusan mewujudkan dana berjumlah RM1.5 bilion dalam memajukan pembekalan dan penggunaan teknologi hijau. Melalui dana ini, syarikat pengeluar dan pengguna teknologi hijau dapat membuat pinjaman untuk membiayai aktiviti yang menyokong pertumbuhan industri teknologi hijau. Pinjaman maksimum untuk syarikat pengeluar sehingga RM50 juta dan syarikat pengguna sehingga RM10 juta membuktikan bahawa kerajaan benar-benar komited memajukan industri ini.

Kerajaan turut menanggung dua peratus daripada jumlah kadar faedah pinjaman tersebut dengan nisbah jaminan 60 peratus dan institusi perbankan 40 peratus. Permohonan pinjaman pula boleh dibuat melalui Pusat Teknologi Hijau Negara. Skim ini yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2010 memberikan faedah kepada lebih daripada 140 syarikat.

Beberapa langkah diambil memperkukuh struktur pelaksanaan dan pembangunan teknologi hijau serta mengantarabangsakan potensi penggunaannya.

Misalnya, dalam Bajet 2010 kerajaan menstrukturkan semula Pusat Tenaga Malaysia menjadi Pusat Teknologi Hijau Negara. Pusat ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyediakan pelan tindakan pembangunan teknologi hijau dan berperanan sebagai agensi yang menetapkan piawaian dan mempromosi teknologi hijau.

Strategi mewujudkan persekitaran kondusif bagi pembangunan teknologi hijau juga penting. Strategi ini pastinya tidak berjaya dilaksanakan tanpa instrumen ekonomi yang inovatif. Strategi ini juga sukar dilaksanakan tanpa sebarang dana untuk menggalakkan usaha merancakkan promosi terutama untuk menarik pelaburan langsung asing dalam industri teknologi hijau dan merangsang pelaburan langsung domestik industri tempatan.

Strategi mewujudkan persekitaran kondusif ini penting dalam usaha menjadikan Malaysia pangkalan teknologi hijau serantau khususnya bagi tenaga yang boleh diperbaharui seperti teknologi solar fotovoltanik. Begitu juga galakan fiskal dan peruntukan bajet diperlukan untuk melaksanakan program latihan dan pendidikan bagi merangsang pembangunan modal insan dalam industri teknologi hijau.

Selain itu, dana juga diperlukan bagi menyediakan bantuan kewangan dan insentif untuk menggalakkan pelajar di institusi pengajian tinggi memilih bidang pengajian yang berkaitan dengan teknologi hijau.

Kejayaan DTHN turut dipengaruhi ketelusan dan kecekapan pentadbiran dan pengurusan pelaksanaan. Sehubungan itu, strategi membabitkan langkah memperkukuh rangka kerja pada peringkat institusi seperti kementerian, agensi, sektor swasta, dan pihak yang berkepentingan.

Untuk menjayakan strategi ini, kerajaan menubuhkan Majlis Teknologi Hijau yang bertujuan memastikan penyelarasan pada peringkat tertinggi bagi mengimplementasikan dasar yang cekap. Majlis ini dipengerusikan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri secara bergilir-gilir. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pula memainkan peranan utama menyelaras dan mempermudah peranan semua pihak berkepentingan demi kejayaan pelaksanaan teknologi hijau.

Aplikasi Teknologi Hijau adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan yang mana pembangunan dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita peroleh sekarang atau kualiti lebih baik dari sekarang.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA Kelantan

Memahami punca dan kesan kejatuhan harga minyak dunia.

Baru-baru ini Malaysia dikejutkan dengan kejatuhan harga minyak di pasaran dunia yang menyebabkan nilai mata wang ringgit juga jatuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Mengikut firma perunding yang berpusat di London, Spiro Sovereign Strategy, kejatuhan harga minyak ini menyebabkan pasaran saham Malaysia jatuh 12 peratus dalam tempoh tiga bulan.

Ini diikuti oleh negara Asia Tenggara lain yang turut berasa tempias kejatuhan harga minyak dunia itu seperti Indonesia sebanyak 0.8 peratus dan Thailand 2.5 peratus dalam tempoh yang sama. Kejatuhan ringgit pula menjangkau 11 peratus berbanding dolar AS sejak Ogos lalu.

Ringgit kini diniagakan pada RM3.49 berbanding satu dolar AS. Kejatuhan ini diikuti dengan rupiah Indonesia, 5.3 peratus, Bath Thailand tiga peratus dan Peso Filipina dua peratus. Inilah kesan daripada kejatuhan mendadak harga minyak di pasaran antarabangsa. Nilai minyak mentah di pasaran kini ialah sebanyak AS$59 dolar setong berbanding AS$115 setong yang diniagakan pada pertengahan tahun.

Keadaan yang berlaku ke atas harga minyak ini amat memeningkan penyelidik khususnya ahli ekonomi dan politik antarabangsa. Biasanya kejatuhan harga berlaku apabila berlakunya keadaan penawaran melebihi permintaan. Jika berlaku konflik di dunia, khususnya di Asia Barat, kebiasaannya harga minyak akan meningkat seperti yang berlaku pada tahun 1970an dan ketika Perang Teluk yang lalu.

Kini harga minyak yang jatuh teruk dilihat sebagai tindakan yang disengajakan pihak tertentu untuk menjejaskan ekonomi sesebuah negara yang bergantung kepada minyak dengan cara menambahkan penjualan minyak dalam pasaran. Ramai penganalisis beranggapan bahawa krisis kejatuhan harga minyak ini adalah kesan daripada perbalahan antara Barat yang diketuai AS dengan Russia khususnya berkenaan konflik di Ukraine dan tragedi pesawat MH17 di Ukraine pada Julai lalu.

Tindakan disengajakan

Mengikut akhbar The Washington Post pada 15 Disember lalu, kejatuhan harga minyak ini sememangnya satu tindakan disengajakan bagi menggugat ekonomi Russia. Sebelum ini, negara Barat khususnya AS dan Kesatuan Eropah mengenakan sekatan ekonomi dan diplomatik ke atas Russia, namun kesannya belum dapat menggugat Russia untuk keluar daripada Ukraine. Justeru, satu tindakan drastik perlu dilakukan Barat untuk terus menekan Russia.

Barat berasakan bahawa cara terbaik menggugat ekonomi Russia adalah dengan menjatuhkan harga pasaran minyak global. Oleh itu, AS dan Arab Saudi berpakat menambahkan penawaran minyak di pasaran ketika permintaan minyak dunia adalah rendah daripada Eropah, China dan Jepun.

Harga minyak yang rendah bermakna syarikat minyak Russia mempunyai kurang dolar AS untuk ditukarkan kepada mata wang Ruble Russia. Dengan kekurangan permintaan terhadap Ruble Russia maka nilai mata wang berkenaan jatuh. Ini menyebabkan nilai Ruble Russia dilihat jatuh lebih 22 peratus berbanding dolar. Untuk menyelamatkan ekonomi Russia, bank pusat Russia telah menaikkan kadar faedah kepada 6.5 peratus.

Gugat ekonomi dunia

Tindakan Barat ini sebenarnya bukan sahaja menjejaskan Russia dan negara lain khususnya di Asia Tenggara, malah juga menjejaskan ekonomi AS dan Eropah. Namun, ia dirasakan risiko yang harus diambil bagi memastikan Presiden Russia, Vladimir Putin terus ditekan dan mendengar desakan pihak Barat khususnya dalam menyelesaikan isu pemberontakan di Ukraine.

Perbalahan antara Russia dan Ukraine juga sebelum ini dilihat menjejaskan ekonomi Russia yang terpaksa menaja puak pemberontak dalam menentang tentera kerajaan Ukraine yang mendapat bantuan Barat. Apa yang jelas, krisis politik dunia yang berlaku jauh di Eropah sebenarnya boleh menggugat kedudukan ekonomi sesebuah negara walaupun negara itu tiada kaitan dengan krisis berkenaan.

Meskipun Malaysia tiada kaitan dengan konflik di Ukraine, kedudukan Malaysia kini seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Selepas apa yang berlaku ke atas MH17 belum mencapai titik penyelesaiannya, Malaysia juga berhadapan masalah ekonomi yang disebabkan perbalahan pihak Barat dengan Russia yang berkaitan konflik di Ukraine. Malaysia kini harus bersedia berdepan kemungkinan berlakunya krisis ekonomi dan kewangan pada tahun hadapan jika kejatuhan harga minyak berterusan menggugat ekonomi dunia.

Jelas sekali dasar fiskal Malaysia amat bergantung kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan pada April 2015 ketika sumber pendapatan negara melalui minyak berkurangan. Namun, jika harga minyak terus rendah, kuasa membeli warga Malaysia akan meningkat dan ia dilihat mampu membantu merancakkan ekonomi negara ini. Kerajaan bagaimanapun harus terus berhati- hati menguruskan ekonomi negara supaya pendapatan dan perbelanjaan diseimbangkan pada masa hadapan.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 287 other followers