Isu Kanak-kanak

UNDANG-UNDANG terbahagi kepada undang-undang domestik dan antarabangsa. Undang-undang domestik adalah undang-undang yang diluluskan oleh parlimen sesebuah negara dan Undang-undang antarabangsa dibuat oleh badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Undang-undang domestik dipanggil akta atau ordinan jika diluluskan di Parlimen Persekutuan dan enakmen atau ordinan jika diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri. Undang-undang antarabangsa dipanggil triti atau konvensyen atau protokol.

Undang-undang antarabangsa mengikat negara yang menandatanganinya sahaja dan ia perlu diratifikasi oleh negara tersebut dan diluluskan sebagai undang-undang domestik untuk penguatkuasaan.

Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menerima Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) pada 20 November 1989. Malaysia telah menerima konvensyen ini pada 1995. Konvensyen ini mengandungi 54 artikel dah hak yang diberikan adalah yang tidak membezakan warna, agama, jantina, bahasa, pegangan politik, etnik, ketidakupayaan, tempat kelahiran dan sebagainya. Konvensyen ini memperkenalkan konsep Best interest of the child atau kepentingan kanak-kanak. Hak kanak-kanak dalam konvensyen terbahagi kepada:

a. Hak untuk hidup

Seorang anak berhak kepada perkara-perkara asas untuk hidup seperti makan minum dan tempat tinggal serta kepada kehidupan yang sihat dan mencukupi atau dalam bahasa Inggerisnya, A

child is entitled to the basic right to life, to a healthy life and adequate standard of living. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan anak membesar dalam persekitaran yangterbaik. Artikel yang berkaitan dengan peruntukan ini ialah 6, 24 dan 27.

b. Hak untuk membangun peribadi melalui pelajaran

Hak ini bertujuan memastikan anak-anak menamatkan persekolahan rendah dan menghapuskan diskriminasi gender di sekolah rendah dan menengah menjelang 2015. Artikel berkaitan ialah

6, 28, 29, 23 dan 18.

c. Hak untuk dilindungi daripada semua jenis penganiayaan, penyalahgunaan dadah, mangsa perang, mangsa pelarian dan mangsa proses pengangkatan

Hak ini merangkumi semua jenis perlindungan yang diberikan kepada kanak-kanak daripada penganiayaan dan penderaan, kanak-kanak yang diperdagangkan, yang dilarikan, yang menjadi mangsa peperangan dan kanak-kanak yang melalui proses pengangkatan. Antara artikel yang berkaitan ialah artikel 33, 34, 7, 8 dan 20.

d. Hak untuk mengambil bahagian

Kanak-kanak mesti terlibat dalam proses membuat keputusan yang melibatkan kanak-kanak. Kanak-kanak mesti didengar dan bukan sekadar dilihat. Misalnya perkara yang melibatkan kanak-kanak secara terus seperti isu pendidikan, perubatan, hak bersuara dan sebagainya. Antara artikel yang berkaitan ialah 12, 14, 16, 17 dan 31.

Malaysia telah menerima Konvensyen Hak Kanak-Kanak pada 17 Februari 1995 dengan 12 reservasi, yang mana empat daripadanya telah ditarik balik dengan meninggalkan reservasi berikut:

a. Art 1- takrifan anak

b. Art 2- prinsip tidak mendiskriminasi;

c. Art 7- Nama dan kerakyatan;

d. Art 13- Kebebasan bercakap;

e. Art 14 –Kebebasan berfikir dan beragama

f. Art 15- Kebebasan berpersatuan;

g. Art 28(1) Pelajaran sekolah rendah yang wajib dan percuma;

h. Art 37- Penyeksaan dan kehilangan kebebasan

Manusia biasa

Pada 2010, Malaysia menarik balik reservasi artikel 1, 13 dan 15. Ini bermakna, kanak-kanak di Malaysia berhak diberi kebebasan bercakap dan berpersatuan. Oleh kerana ia adalah peruntukan konvensyen antarabangsa, maka ia masih terikat dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta mana-mana undang-undang domestik yang ada di Malaysia.

Konvensyen ini menganjurkan supaya semua orang mesti melayan kanak-kanak sebagai manusia biasa yang mempunyai hak yang sama dengan manusia dewasa, menghormati hak dan kerahsiaan peribadi (privacy), tidak memalukannya di khalayak, tidak dianiaya, didera fizikal, mental dan emosi.

Di Malaysia untuk mencapai hasrat konvensyen, satu akta yang dinamakan Akta Kanak-kanak telah diluluskan oleh Parlimen untuk mengimplimentasikan hasrat konvensyen. Akta Kanak-Kanak 2001 menggabungkan tiga akta iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 
dan Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991.

Seperti yang kita tahu di Malaysia terdapat Undang-undang Sivil dan Undang-undang Islam. Undang-undang Sivil adalah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Persekutuan dan terpakai kepada semua orang di Malaysia. Manakala, Undang-undang Islam diluluskan di Dewan Undangan Negeri kerana Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri. Namun undang-undang Islam hanya terpakai kepada orang Islam sahaja, sedangkan Undang-undang Sivil terpakai kepada semua.

Akta Kanak-kanak terpakai kepada semua kanak-kanak Islam dan bukan Islam, namun dalam beberapa perkara kanak-kanak Islam dikawal di bawah negeri. Akta Kanak-kanak pula membahagikan kanak-kanak kepada lima (5) kumpulan iaitu:

(i) Kanak-kanak yang memerlukan jagaan dan perlindungan;

(ii) Kanak-kanak yang memerlukan perlindungan dan pemulihan;

(iii) Kanak-kanak yang di luar kawalan

(iv) Kanak-kanak yang dilarikan dan diperdagangkan;

(v) Kanak-kanak yang melakukan kesalahan jenayah.

KERAJAAN juga mewajibkan pendidikan sekolah rendah di mana Akta Pelajaran (Pindaan) 2002 (Akta A1152) diluluskan. Seksyen 29A memperuntukkan mengenai tanggungjawab ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah semasa anak genap enam tahun pada hari pertama bulan Januari tahun berkenaan dan hendaklah tamat sekolah rendah sebagai tempoh wajib. Jika tidak, ibu bapa telah melakukan suatu kesalahan dan jika sabit boleh didenda RM5,000 denda atau enam (6) bulan penjara atau kedua-dua sekali.

Dalam masa yang sama larangan merotan kanak-kanak di sekolah juga dikeluarkan terutama public canning atau merotan di khalayak sebagai hukuman. Di sekolah yang boleh merotan murid ialah Guru Disiplin dan Pengetua atau Guru Besar.

Merotan kanak-kanak menjadi isu besar baru-baru ini apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membuat kenyataan yang perbuatan merotan anak akan dijadikan suatu kesalahan jenayah.

Isu merotan anak dalam hukum Islam telah saya bincang sebelum ini dan saya hanya akan menyentuh sedikit daripadanya sahaja. Jika kita amati, Akta Kanak-kanak diluluskan bagi tujuan melindungi kanak-kanak daripada semua jenis penganiayaan dan penderaan.

Jika perbuatan merotan kanak-kanak dilakukan oleh sesiapa pun – guru, ibu bapa, nenek atau datuk atau sesiapa yang menjadi penjaga anak sehingga anak tersebut cedera, maka ia boleh menyebabkan orang yang melakukan perbuatan tersebut dihadapkan ke mahkamah. Dengan melarang guru merotan murid di tempat awam, secara tidak langsung, hasrat untuk mencegah kanak-kanak daripada didera atau dianiaya telah tercapai.

Kita mahu mendidik masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam tindakan mereka. Akta Kanak-kanak 2001 adalah undang-undang domestik atau undang-undang yang kita buat sendiri dan luluskan di Parlimen. Ia terpakai kepada kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

Akta Kanak-kanak menggantikan Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991. Tujuan utamanya ialah memberi perlindungan kepada semua kanak-kanak tanpa mengira bangsa dan agama.

Konvensyen Hak Kanak-kanak pula adalah satu perundangan yang diluluskan atas dasar persetujuan. Jika sebuah negara merasakan peruntuk konvensyen bertentangan dengan undang-undang domestiknya, maka mereka boleh menolak aplikasi konvensyen atau menerima dengan reservasi.

Sebagai contoh, Malaysia masih mereservasi artikel 14 mengenai kebebasan beragama. Ini kerana mengikut Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, agama seorang kanak-kanak ditentukan oleh ibu, bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut sehingga kanak-kanak mencapai umur 18 tahun. Malaysia juga perlu memastikan Konvensyen Hak Kanak-kanak tidak mencabar agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Oleh : Prof. Datin Noor Aziah Mohd. Awal
, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, UKM serta Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, 
UKM & Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, (Yadim).

http://www.utusan.com.my

Rukun Negara Asas Jati Diri

Ada rungutan bahawa generasi muda kini umumnya kurang memiliki perwatakan nasional yang dapat mempamerkan keperibadian mereka sebagai warganegara Malaysia, baik ketika berada di dalam mahupun di luar negara, melalui identiti nasional kita yang dapat diserlahkan dengan cepat lagi mudah. Apabila perkara sebegini berlaku, ia tidak dapat lari daripada keperluan meneliti kembali program tatanegara kita, sama ada dalam bidang pendidikan atau lain-lain. Sehubungan ini, Rukun Negara yang mula diperkenal pada 31 Ogos 1970, sebagai peranti sosiobudaya mengenai kehidupan rakyat Malaysia yang berkongsi sejarah negara, tradisi dan nilai timur sepunya, bahasa kebangsaan dan aspirasi yang sama, tidak pun dimanfaatkan sepenuhnya. Ia lebih banyak dihafal untuk mengingati sejumlah prinsip di dalamnya, tidak pernah dilaksanakan dalam bentuk serius melalui penghayatan yang rinci untuk menonjolkan bukan sahaja kepentingannya, tetapi kemuliaannya dalam pembentukan negara bangsa kita. Perwatakan nasional Masih tidak terlambat langsung untuk kita mengangkatnya semula untuk digemblengkan bagi tujuan pemupukan perwatakan nasional dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda. Melalui Rukun Negara ini, dengan menggunakan pelbagai cara dan bentuk hasil inovasi dan kreativiti kita, satu pemikiran dan kelakuan sepunya diyakini dapat diwujudkan untuk memperlihat unsur perkongsian perasaan kenegaraan yang sama oleh seluruh rakyat Malaysia. Sebenarnya pemikiran dan kelakuan ini sudah pun lama tercetus dalam Rukun Negara, iaitu dalam bentuk minat dan sikap, kehendak dan kecenderungan, pandangan dan gagasan, dorongan dan panduan, serta keyakinan dan aspirasi yang perlu dikongsi bersama rakyat Malaysia. Semua ini boleh dirujuk dengan cepat lagi nyata pada lima prinsipnya untuk diterapkan dalam semua aspek kehidupan segenap rakyat Malaysia, bukan sahaja sebagai panduan asas pembentukan negara bangsa kita, tetapi juga selaku bimbingan sahsiah unggul yang perlu ada pada mereka. Dengan kata lain, kita menggunakan Rukun Negara untuk mempamerkan peribadi kita yang bukan sahaja berhemah dari segi susilanya, tetapi juga yang unik kerana berjaya mendukung asas kenegaraan yang dipercayai bersama oleh semua etnisiti di tiga wilayah, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Dengan adanya prinsip pertama, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, sifat yang dianjurkan adalah rakyat Malaysia yang dibekalkan panduan dan nilai melalui agama masing-masing, bukan sahaja membolehkan mereka membezakan kebaikan dengan keburukan. Malah berjaya mempererat solidariti sosial antara rakyat yang berlainan kepercayaan seperti yang diperintahkan setiap agama. Prinsip kedua, iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, menganjurkan patriotisme, khususnya melalui perasaan keterikatan kuat dan kecintaan abadi kepada negara dalam konsep tanah air. Dengan ini, kita bukan sahaja berkongsi destini yang bersama, tetapi juga kesediaan semua rakyat tanpa mengira keturunan untuk mempertahan negara ini. Kontrak secara bersama Keluhuran Perlembagaan yang menjadi prinsip ketiga mengajukan kemuliaan kanun tertinggi negara, yang berjaya menggarap perjanjian antara kaum ketika kemerdekaan ke dalam pelbagai fasal. Ianya bukan sahaja adalah hak dan keistimewaan bersama, tetapi juga kontrak yang perlu dilangsai bersama-sama dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan. Kedaulatan Undang-Undang selaku prinsip keempat menunjukkan keperluan semua pihak tanpa mengira kedudukan, untuk bukan sahaja mematuhi perundangan yang digubal, tetapi juga menerima kewibawaannya sekali. Dengan ini, rakyat dikehendaki mematuhi dan menghormati undang-undang negara pada setiap masa. Prinsip kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, mencuarkan sikap saling menghormati sesama kita, selain keperluan rakyat memiliki kelakuan yang baik. Sudah tentu, ini akan mempererat perpaduan di samping memperlihat pengamalan tradisi dan nilai kita bersama sebagai budaya nasional. Melalui semua prinsip ini, pasti satu sikap positif mengenai perwatakan nasional akan terbentuk dalam kalangan semua rakyat. Kehidupan etnik berlainan dalam tiga wilayah yang diikat sebagai satu yang dipunyai bersama, bersandar kepada pemahaman bersama tentang sejarah dan tradisi negara serta pembabitan bersekali dalam semua sistem negara. Sehubungan ini, Rukun Negara yang dimanfaatkan untuk pembentukan perwatakan nasional ini hendaklah dirancangkan dengan penuh hemat sebagai kepercayaan negara, khususnya dalam bidang pendidikan dan bukannya dibiarkan difahami sendiri oleh rakyat, khususnya generasi muda untuk diamalkan dalam kehidupan harian mereka.
Penulis ialah Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia dan EXCO Majlis Profesor Negara

Tangani Bencana Secara Kolektif

DUNIA dan negara sedang berdepan saat sukar dalam menghadapi pelbagai bentuk bencana, sama ada bersifat semula jadi atau bencana alam misalnya banjir besar, kemarau panjang, tanah runtuh, puting beliung, tsunami dan jerebu mahupun bencana ciptaan manusia menerusi teknologi seperti penggunaan bom nuklear, perang saudara dan seumpamanya. Bencana alam yang melanda menyebabkan di satu kawasan mengalami suhu panas melampau sementara di bahagian yang lain pula mengalami banjir besar serta suhu sejuk jauh di bawah tahap beku. Begitu juga dengan bencana ciptaan manusia yang membabitkan perang saudara, perang antara negara kerana berebut sumber petroleum umpamanya membabitkan korban yang cukup ramai di kalangan orang awam, wanita dan kanak-kanak. Kesemua bencana itu meninggalkan pelbagai kesan buruk yang bukan kepalang kepada masyarakat, flora dan fauna yang lain. Sesetengahnya mengakibatkan kesan ekonomi, alam sekitar dan sosial berpanjangan terhadap sesebuah negara. Kini Malaysia berdepan situasi suhu panas 36 darjah Celsius di sesetengah kawasan dan dijangkakan boleh meningkat sehingga melebihi 40 darjah Celsius, disebabkan fenomena El Nino sehingga menimbulkan keresahan di kalangan penduduk. Kesan berpanjangan ialah terhadap sumber bekalan air yang semakin berkurangan jika hujan tidak turun dalam tempoh panjang serta mengurangkan jumlah produktiviti pertanian negara. Kesemua ini mempunyai kesan rantaian dan gandaan yang mengakibatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat kian menurun. Pada masa sama kita juga digegarkan dengan pelbagai tindakan tidak bertanggungjawab di luar daripada norma dan batas kemanusiaan – membunuh sesama manusia menggunakan bahan teknologi letupan, senjata api dan seumpamanya. Penduduk trauma Kejadian yang berlaku di Paris, Istanbul, Jakarta dan Burkina Paso dikaitkan dengan tindakan tidak berperikemanusiaan oleh militan Islamic State (IS) telah mendatangkan kesan ketakutan dan trauma kepada penduduk yang merasakan bahawa tidak ada lagi tempat selamat untuk didiami di muka bumi ini. Kejadian seumpama ini dilihat boleh berlaku di mana sahaja yang menyebabkan kehancuran ekonomi, sosial dan budaya. Perkara ini sebenarnya adalah rentetan serangan 11 September yang berlaku di Amerika Syarikat 15 tahun lalu. Ini bermakna dalam tempoh itu, dunia tidak dapat lagi lari daripada bencana bikinan manusia ini. Kita juga berdepan bencana ekonomi yang menyaksikan penurunan harga sumber terpenting tenaga iaitu petroleum yang kini berada di bawah AS$30 satu tong berbanding AS$150 sedikit masa dulu. Penurunan yang begitu ketara ini menjadikan sesetengah negara yang bergantung sepenuhnya kepada sumber petroleum untuk pembangunan ekonomi, terseret dalam kancah kemiskinan berterusan jika harganya secara berterusan menurun. Tambahan pula sekatan penjualan petroleum yang selama ini dikenakan terhadap Iran, sudah berakhir dan negara itu bebas untuk mengeksport petroleum. Berdasarkan jumlah produk yang begitu besar berada di pasaran dunia akan menyebabkan harganya akan terus menjunam. Jika keadaan ini berterusan, ia mampu melumpuhkan sistem ekonomi sesetengah negara yang bergantung sepenuhnya terhadap sumber bumi ini. Di samping itu, keadaan kesihatan penduduk juga agak tergugat oleh pelbagai jenis penyakit yang merebak sehingga mengancam nyawa manusia. Penyakit seperti demam denggi, kepialu, malaria hinggalah kepada penyakit bawaan air dan jangkitan seperti leptoporosis atau kencing tikus telah menyebabkan kematian yang ramai. Virus zika Terbaru, penyakit disebabkan oleh virus zika yang merebak begitu pantas di beberapa negara terutamanya Amerika Latin begitu membimbangkan kesannya terutama bagi ibu hamil. Sementelahan demam denggi yang disebabkan oleh nyamuk aedes di negara ini pun dilihat sukar untuk dibanteras disebabkan oleh sikap masyarakat yang mengabaikan kebersihan persekitaran, apatah lagi virus lain yang seumpamanya. Kini, negara juga berdepan situasi politik yang kurang tenteram disebabkan oleh ugutan dan ancaman dari satu pihak terhadap pihak yang lain. Namun diharapkan agar suasana politik ini tidak menggugat dan seterusnya menjadi bencana yang mengancam situasi aman di negara kita ini kerana suasana politik yang kurang tenteram mungkin mengundang bencana sosial yang lebih besar kesan dan akibatnya terhadap keseluruhan masyarakat negara ini nanti. Apakah sikap kita terhadap segala bencana yang berlaku di sekeliling kita ini? Sesetengah bencana boleh diatasi melalui pelbagai aras, sama ada secara individu, kolektif mahupun tindakan oleh pihak berkuasa dan kerjasama dengan seluruh anggota masyarakat. Kesemua bencana yang saling berkait ini wajar dilihat di dalam satu kerangka besar konsep kemudahterancaman untuk benar-benar memahami setiap perkara yang berlaku dan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap setiap bencana itu yang mempunyai pendekatan berbeza-beza untuk menanganinya.
Penulis ialah Profesor Madya/Felo Kanan & Ketua Hal-ehwal Jaringan dan Industri (HEJIM) Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM

Pekerjaan 3D

Adakah imej dan reputasi kerajaan benar-benar terjejas dek isu pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang dimanipulasikan dalam media sosial baharu dan desakan pelbagai pihak yang amat bimbang masa depan rakyat tempatan dalam pelbagai sektor? Sebaik diumumkan penangguhan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkuat kuasa serta-merta, sekali gus memperlihatkan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber dihentikan, membuatkan juga pelbagai pihak senyap secara tiba-tiba. Agaknya semua terkejut dengan langkah itu dan ada yang melihat imej dan reputasi kerajaan tercalar sebaik membuat pusingan ‘U.’ Apakah benar? Renungkan sejenak ikon negara seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). Ikon lain seperti bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Parlimen Malaysia, Jambatan Pulau Pinang, Stadium Merdeka, Stadium Nasional Bukit Jalil, di samping pengangkutan awam yang hebat seperti projek Transit Aliran Ringan (LRT) dan KL Monorail. Ini semua adalah kebanggaan rakyat. Kita berasa cukup megah kerana mempunyai aset atau khazanah negara yang tidak ternilai. Khazanah negara ini adalah hasil titik peluh anak tempatan dan gabungan pekerja asing pelbagai negara. Daripada hasil gabungan itu, 60 peratus adalah anak tempatan dan 40 peratus adalah pekerja asing. Beri penjelasan ikut fakta Adakah kita masih menidakkan sumbangan dan pengorbanan pekerja asing dalam membangunkan negara selama ini? Sedangkan isu 1.5 juta pekerja Bangladesh yang dimomokkan untuk masuk, sekali gus ke negara ini bagi menambah kegawatan sektor pekerjaan dan menidakkan rakyat tempatan dalam media sosial baharu mencetuskan fenomena yang tidak ada asasnya, walaupun kerajaan sudah memperjelaskan secara berfakta. Janganlah kita jadi orang berpelajaran tetapi tidak bijak. Sebenarnya kerajaan selama ini sudah bina imej dan reputasi demi kesejahteraan rakyat dan negara merentas zaman. Bermula dengan Tunku Abdul Rahman Putra sehingga Datuk Seri Najib Razak, pembinaan itu terjalin hebat. Memang diakui, imej dilihat sebagai satu elemen yang diberikan keutamaan di mana-manapun di dunia. Khalayak atau rakyat melihat sesuatu perkara bergantung kepada cara bagaimana imej itu ditonjolkan atau dipinggirkan. Selama ini pun, kerajaan sentiasa menekan betapa imej bukan sahaja perlu di ‘projeksi’ tetapi juga perlu dilindungi supaya imej yang wujud tidak tercemar dalam sesuatu organisasi itu. Ahmad Zahid sejak dari awal konsisten dalam hal pengambilan pekerja asing, termasuk soal levi dan program penggajian semula. Ia juga dipengaruhi kuat oleh sifat profesional, kejayaan dalam pengurusan kewangan dan beretika dalam tindakan meliputi aspek merancang, mengorganisasi, memimpin dan mengawal sumber secara cekap serta berkesan ke arah mencapai matlamat. Kata sarjana Barat, pengurusan adalah “…. the process of working with people and resources to accomplish organizational goal.” Tidak salah kerajaan memutuskan untuk langkah yang dikatakan seolah-olah membuat pusingan ‘U’ kerana setiap tindak tanduk itu ada justifikasinya. Pada waktu sama, ini memberi peluang kepada semua majikan membuka ruang pekerjaan, terutama membabitkan sektor 3D (Dangerous, Dirty, Difficult) kepada rakyat tempatan. Anjur kempen kerja sektor 3D Berikutan penangguhan mengenai kemasukan pekerja asing, adalah disyorkan majikan melaksanakan kempen besar-besaran menerusi ‘Pesta Kerja Sektor 3D’ di seluruh negara bermula bulan depan. Inilah masanya majikan ambil peluang ini. Bagi menarik minat rakyat tempatan, pembayaran levi pekerja asing boleh diserapkan dalam penawaran upah melebihi gaji minimum kepada pekerja tempatan dalam Sektor 3D. Mungkin dalam sektor perladangan, pekerja tempatan boleh diberi upah RM1,600 atau RM1,800 sebulan. Sudah tentu ramai penganggur yang memiliki kemahiran tertentu memberi sambutan hangat kepada Pesta Kerja Sektor 3D. Penulis pernah terserempak seorang wanita lengkap dengan pakaian seragam membawa lori pembersih jalan di Victoria Market, Melbourne. Dia asalnya dari Darwin dan dibayar gaji A$3,000 (RM9,000) sebulan, upah tinggi bagi pekerjaan dalam kategori 3D. Yang penting pada waktu sama, kerajaan menumpukan kepada soal mengenal pasti pekerja asing dalam Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin serta melipatgandakan usaha penguatkuasaan. Semua ini memberi faedah tertentu kepada majikan. Menerusi program ini, tindakan tidak diambil terhadap majikan dan pekerja terbabit, sebaliknya hanya membayar kira-kira RM4,000 untuk proses mendaftarkan pekerja ini secara sah. Langkah berhemah kerajaan wajar memberi kesan positif kepada imej dan reputasi semua pihak terbabit.
Penulis ialah Ketua Penyelidik di Pusat Penyelidikan Strategik (PPS), badan pemikir sosio media-politik

Alam ‘Negara Tua’

APABILA Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim mengatakan Malaysia bakal jadi ‘negara tua’ menjelang 2030, beliau sebenarnya bercakap mengenai trend di kebanyakan negara maju hari ini. Peningkatan bilangan orang tua antara 10 hingga 15 peratus sepanjang tempoh 14 tahun akan datang di negara ini, sama seperti ramalan 15 tahun lalu mengenai penduduk Amerika Syarikat (AS). Beberapa hari lalu, heboh mengenai cadangan Majlis Profesor Negara (MPN) supaya tempoh usia persaraan profesor dinaikkan daripada 60 tahun sekarang kepada 65 tahun. Bagi yang menganggap cadangan itu tidak wajar, ia menunjukkan mereka belum sedia memasuki alam ‘negara tua’. Mereka beri alasan berasaskan perkiraan matematik berhubung kos yang terpaksa dibayar kerajaan jika mengekalkan perkhidmatan profesor yang sepatutnya bersara selepas mencapai usia 60 tahun. Mereka tidak nampak bahawa khidmat dan idea golongan ini masih diperlukan untuk negara. Golongan ini mencadangkan supaya peluang diberikan kepada golongan muda bagi menggantikan khidmat profesor yang kebanyakannya sudah berusia. Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa ini adalah putik-putik cabaran bahawa Malaysia sudah pun mula memasuki alam ‘negara tua’ yang mana golongan diperlukan untuk membina bangsa dan negara sudah berada pada usia agak lanjut tetapi masih mampu berkhidmat. Hari ini, jumlah penduduk berusia 60 tahun ke atas di negara ini mencecah lapan peratus dan dijangka terus meningkat. Sesebuah negara ditakrif sebagai ‘negara tua’ apabila 10 atau 15 peratus daripada jumlah penduduknya berusia 60 tahun ke atas. Isu melanjutkan tempoh persaraan perkhidmatan tertentu bukan hanya berlaku di Malaysia, malah ia menjadi topik perbincangan di negara maju. Mereka mengakui ada jawatan memerlukan kematangan dan kebijaksanaan. Penyediaan pelapis perlukan masa Tempoh menyediakan pelapis memerlukan masa panjang kerana ia berhubung kait dengan soal pengalaman. Lebih lama seseorang itu memegang sesuatu jawatan penting, adalah lebih baik berbanding penggantinya yang mungkin masih muda dan sedang mengumpul pengalaman. Pengalaman bagi mereka yang sudah lama berkhidmat menjadikannya lebih matang, rasional, disegani dan dihormati, lebih berwibawa dan ciri lain yang perlu ada bagi seseorang. Hujah lebih diyakini Begitu juga dengan khidmat guru agama yang mengajar di merata tempat. Walaupun ramai sudah lanjut usia, tetap gigih dengan tugas mereka. Adalah rugi jika mereka tidak dibenar mengajar agama di masjid, surau atau pada majlis tertentu disebabkan umur mereka melebihi 65 tahun. Hakikatnya, lebih berusia seseorang guru agama itu, lebih matang mengeluarkan hujah dan lebih diyakini. Bagi yang masih muda, mereka mempunyai banyak masa untuk belajar daripada yang lebih tua. Pada 2001, Peter Drucker menulis satu rencana dalam keluaran khas majalah Economist bertajuk The Next Society. Menurutnya: “in the developed countries, the dominant factor in the next society will be something to which most people are only just beginning to pay attention; the rapid growth in the older population and the rapid shrinking of the younger generation. (Di negara maju, faktor dominan masyarakat akan datang adalah mengenai perkara yang kebanyakan orang baru mula memberi perhatian; pertumbuhan pesat populasi golongan tua dan penurunan mendadak generasi muda. Ketika itu beliau mengatakan bahawa dalam tempoh 25 tahun lagi, manusia akan terus bekerja sehingga pertengahan usia mereka mencecah 70-an, jika kesihatan mengizinkan. Hari ini, selepas 15 tahun, apa yang dinyatakannya itu sudah berlaku di AS. Secara perbandingan, pada 1900, hanya seorang daripada daripada 25 penduduk AS mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas. Menjelang 1950, bilangan orang tua meningkat kepada seorang daripada 12 rakyat negara itu berumur sedemikian. Pada 2000, bilangan golongan tua meningkat lagi kepada seorang daripada lapan rakyat AS dan menjelang 2030, bilangan orang tua dijangka meningkat kepada seorang daripada lima warga negara itu. Drucker meramalkan pada 2030, bila pelajar kolej (ketika rencana itu ditulis) berusia kira-kira 50-an, akan berlaku lebih ramai bilangan datuk dan nenek daripada cucu. Bagi kedudukan warga tua AS pula, pada 2000, ada 4.3 juta penduduk berusia 85 tahun ke atas membabitkan 12 peratus rakyat yang dianggap tua. Menjelang 2050, bilangan itu dijangka meningkat kepada 19 juta atau 23 peratus. Trend ini akan berlaku di negara lain termasuk Malaysia.

Agenda Global 2030

ILTIZAM ditunjukkan oleh negara dalam melaksanakan Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) yang berakhir pada 2015, jelas dipaparkan di dalam Laporan MDG 2015 yang dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar baru-baru ini. Laporan itu turut menunjukkan pencapaian dan peningkatan diperoleh negara dalam tempoh 15 tahun lampau dan pencapaian ini amat membanggakan serta mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Agenda itu kini diambil alih oleh Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) atau Agenda Global sehingga tahun 2030. Sebagai langkah meneruskan pencapaian itu, Malaysia komited untuk melaksanakan matlamat pembangunan lestari dalam enam dimensi utama iaitu Manusia, Planet, Kemakmuran, Keamanan, Kerjasama dan Maruah atau Jati diri. Sasar 17 matlamat Berdasarkan enam dimensi itu serta 17 matlamat dengan 169 sasaran dan hampir 300 indikator yang dibangunkan, cabaran besar menanti negara sebelum semua matlamat itu dapat dilaksanakan dalam pelbagai peringkat agensi dan jabatan kerajaan di seluruh negara dalam tempoh 15 tahun akan datang. Ada empat cabaran utama yang akan dihadapi negara, antaranya cabaran ontologi, cabaran epistemologi, cabaran struktural dan cabaran mekanisme dan teknikal. Cabaran ontologi yang dimaksudkan ialah tumpuan berkaitan dengan asas teori yang mendasari pelaksanaan untuk mencapai matlamat pembangunan lestari yang ditetapkan itu. Dalam erti kata mudahnya ialah menentukan aspek sebenar yang perlu diberi perhatian dalam melaksanakan matlamat pembangunan lestari. Berdasarkan kepada 17 matlamat digariskan penentuan bidang yang ingin dilaksanakan menjadi perkara utama yang perlu diberikan perhatian dengan teliti dan terarah. Keduanya adalah cabaran epistemologi iaitu landasan yang perlu diikuti dalam melaksanakan matlamat pembangunan lestari ini. Adalah dicadangkan agar menggunakan landasan sedia ada untuk memahami realiti masyarakat. yang terbentang. Dalam hal ini, latar budaya penduduk negara wajar dijadikan asas dalam membangun dan menetapkan indikator yang diguna pakai untuk mencapai matlamat pembangunan lestari itu. Selain itu, ilmu watan dan laluan wassatiyah boleh dijadikan landasan di dalam melaksanakan matlamat pembangunan lestari ini. Ketiganya adalah cabaran struktural yang merujuk kepada struktur fizikal, sosial ekonomi dan budaya masyarakat Malaysia itu sendiri. Gaya hidup, pengetahuan, hubungan sosial yang terbentuk melambangkan corak kehidupan yang telah sebati sejak sekian lama. Kekangan utama dalam cabaran struktural ini adalah untuk mengubah gaya hidup, corak dan pendirian yang diamalkan selama ini. Contohnya untuk mencapai matlamat kesihatan dan kesejahteraan yang baik. Jika berdasarkan gaya hidup masyarakat masa kini terutama di bandar besar, adalah menjadi satu cabaran sukar untuk mengubah gaya kehidupan yang sudah sebati dengan pelbagai kekangan dihadapi. Akhirnya adalah cabaran mekanisme dan teknikal. Dalam membangunkan indikator matlamat pembangunan lestari ini menuntut kepada satu bentuk pemahaman mendalam serta menyeluruh dan semuanya memerlukan pembangunan pangkalan data dalam pelbagai peringkat mengikut skala matlamat itu akan dilaksanakan. Jabatan Statistik misalnya memainkan peranan penting untuk menentukan jenis, bentuk, struktur, format, skala dan pelbagai lagi perkara berkait dengan pengurusan data. Pengurusan data penting Di sini jugalah peranan saintis data amat penting kerana berdepan jumlah dan saiz data bersifat mega yang perlu diuruskan dengan berhati-hati dan juga dihubungkan dengan data dari jabatan lain pula. Data dari banci penduduk dan perumahan, survei isi rumah, pertanian, data geospatial, infrastruktur dan inventori kemudahan, data statistik ekonomi serta data alam sekitar perlu disusun, diselaras dan diharmonikan untuk memudahkan sebarang analisis. Jabatan Statistik misalnya perlu mengorak langkah awal untuk tujuan membangun dan seterusnya menyelaraskan data yang diperlukan oleh setiap jabatan kerajaan untuk disesuaikan dengan indikator dibangunkan. Jabatan lain, pihak swasta dan orang perseorangan diharap akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak yang menguruskan data ini agar dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk menjayakan pelaksanaan SDGs ini nanti. Pembangunan data bersifat mega ini cukup penting untuk diselaraskan pada tahap awal kerana pelbagai halangan dan cabaran besar akan datang di peringkat akhirnya nanti jika data yang berpelbagai dari agensi dan jabatan tertentu mempunyai sistem, bentuk, format yang berlainan di antara satu dengan lain tidak diselaraskan sebaik mungkin. Cabaran mekanisme dan teknikal ini juga ialah membangunkan alat pemantauan SDGs dengan tujuan utamanya ialah untuk memantau pelaksanaan SDGs dalam pelbagai peringkat agensi dan jabatan kerajaan. Satu mekanisme yang sesuai perlu dibangunkan untuk tujuan memantau setiap agensi dan jabatan kerajaan yang terbabit dalam melaksanakan matlamat pembangunan lestari ini.
Penulis ialah Prof Madya/Felo Kanan & Ketua Hal-ehwal Jaringan dan Industri (HEJIM) Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Isu Hak Asasi

DISEDARI atau tidak, penyebaran faham hak asasi yang bersandarkan kefahaman manusia, sudah berada dalam arus perdana. Penyebarannya semakin keras dan deras. Tidak ada yang salah mengenai hak asasi. Ia adalah keperluan asas setiap individu. Namun, ia menjadi salah jika tiada elemen ketuhanan dan hanya mementingkan kehendak manusia. Perlembagaan kita merangkum hak asasi di bawah tajuk kebebasan asasi. Walaupun ada beberapa perbezaan dari segi maksud dan istilah yang digunakan, iaitu ‘kebebasan’ dan ‘hak’, secara dasarnya kita tidak boleh membuat kenyataan umum bahawa Perlembagaan kita tidak menjamin hak asasi. Implikasi kepada peruntukan berkaitan kebebasan asasi sebagaimana ada dalam Perlembagaan itu menjadikan hak asasi perlu dijaga, dijamin dan dilaksana kepada setiap yang berhak mengikut kesesuaian perundangan negara.
Berpegang teguh nilai agama Dalam aspek perundangan, negara kita masih berpegang dengan kukuh kepada nilai agama dan budaya dalam hal berkaitan hak asasi. Oleh itu, secara akademik, dalam teori hak asasi, kita menerima pakai teori relativisme, iaitu teori yang menerima elemen tempatan, termasuk agama dan nilai budaya serta moral. Perundangan kita tidak menerima teori universalisme walaupun keinginan untuk segelintir warga kita yang mahukan negara menerima teori universalisme atau sejagat dalam hal hak asasi. Teori universalisme hak asasi mempromosi idea bahawa hak asasi perlu diseragamkan di serata dunia. Di dalam teori universalisme ini tiada penerimaan kepada keadaan setempat; tidak mementingkan kepercayaan ‘agama’; tiada istilah ‘nilai’, ‘norma’ dan budaya. Ia adalah teori ciptaan manusia berdasarkan fikiran dan kehendak sendiri dan hasil pemikiran Barat, membentuk penjajahan Barat ke atas dunia Timur. Dari segi pemakaian, kekuatan teori ini ialah mereka mampu lobi kefahaman mereka pada peringkat antarabangsa. Kerana itu, teori ini dianggap sejagat. Sebahagian besar daripada kita amat maklum bahawa prinsip dan amalan hak asasi Barat adalah ‘bias’ atau tidak adil; segala isi hak asasi itu ditentukan Barat. Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia dan triti berkaitan hak asasi dipengaruhi secara penuh oleh puak Barat. Kuasa veto pada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebagai badan pengawas hak asasi juga sememangnya dipelopori Barat. Kini, pada peringkat antarabangsa, sebarang ketidakpuasan hati mana-mana pihak terhadap pelaksanaan hak asasi boleh dibentangkan dalam beberapa proses PBB. Walaupun begitu, proses berkenaan tidaklah begitu terbuka dan pihak yang mahu sampaikan pandangan mengenai hak asasi perlu melalui kepayahan melobi sebelum dibenarkan membuat apa-apa pembentangan atau menyampaikan apa-apa cadangan dan pandangan kepada jawatan kuasa berkaitan hak asasi pada peringkat PBB. Sokong perundangan negara Dalam negara, suara kita masih lagi padu menyokong perundangan negara dan masih lagi boleh berhujah dengan teori relativisme. Kita hendaklah berusaha membawa suara ini kepada PBB. Secara teorinya, kita sentiasa boleh berhujah bahawa kita menerima hak asasi dalam konteks relativisme yang mempunyai dua pendirian utama: Pertama, relativisme yang ketat, iaitu tidak ada hak asasi manusia sejagat atau universal. Dan, semua kepercayaan atau agama dan nilai adalah budaya relatif, berkaitan dengan kesesuaian tempatan. Maka hak asasi hendaklah setiap masa bersandarkan kepada kepercayaan dan nilai tempatan. Dalam teori relativisme yang kedua, ia lebih longgar daripada yang pertama. Relativisme ini menerima prinsip hak asasi sejagat, tetapi pada masa sama menerima kemungkinan adanya persamaan dan perbezaan antara nilai tempatan dengan nilai sejagat. Dengan itu nilai tempatan diberikan tempat dalam menerima dan melaksana hak asasi, tetapi pada masa sama meraikan kesejagatan prinsip hak asasi. Kita mungkin boleh berhujah menggunakan kedua-dua aspek dalam teori relativisme ini untuk Malaysia pada peringkat PBB. Namun, kita perlu lalui proses melobi di PBB dan dari segi realitinya ia amat sukar. Oleh itu peranan badan bukan kerajaan (NGO) yang percaya kepada teori relativisme ini amat besar. Usaha ini hendaklah dijana dengan lebih berkesan; kita perlu ke peringkat PBB. Tidak lagi memadai untuk kita sekadar bersuara dalam negara dan kita hendaklah bersatu dan belajar mencontohi antara satu sama lain.
Penulis ialah Profesor Madya Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Sains Islam Malaysia (UIAM)