Khazanah alam – hutan

Memperkatakan mengenai penerokaan hutan dan penebangan balak di negara ini, timbul dua sudut pandangan bertentangan, dengan di satu pihak menganggap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar terlalu sentimental berhubung perkara ini kerana mengutarakan terlalu banyak masalah kesan kegiatan ini manakala NGO berkenaan pula menganggap apa yang berlaku,

terutama pada waktu ini adalah amat membimbangkan yang mana jika tidak dibendung kita akan kehilangan khazanah alam yang cukup berharga.

Tidak kurang juga ada yang seolah-olah mempertikaikan usaha pemuliharaan dan pendidikan dilakukan NGO alam sekitar kerana ada yang berpendapat hasil hutan menyumbang kepada ekonomi sesebuah negeri dan pada masa sama pembangunan perlu dilaksanakan.

BERITA
Utama
Semasa
Politik
Sukan
Dunia
Bisnes
Jenayah
Kolumnis
Rencana
BH@IT
Hiburan
Foto
Video
MEDIA SOSIAL
      
Khazanah alam bukan gadaian jadi negara maju
KHAMIS, 12 MAC 2015 – 9:29AM
OLEH AZRAN JAFFAR

azran@bh.com.my

Kelestarian hutan perlu jadi agenda kerajaan negeri untuk kesejahteraan rakyat
Memperkatakan mengenai penerokaan hutan dan penebangan balak di negara ini, timbul dua sudut pandangan bertentangan, dengan di satu pihak menganggap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar terlalu sentimental berhubung perkara ini kerana mengutarakan terlalu banyak masalah kesan kegiatan ini manakala NGO berkenaan pula menganggap apa yang berlaku,

terutama pada waktu ini adalah amat membimbangkan yang mana jika tidak dibendung kita akan kehilangan khazanah alam yang cukup berharga.

Tidak kurang juga ada yang seolah-olah mempertikaikan usaha pemuliharaan dan pendidikan dilakukan NGO alam sekitar kerana ada yang berpendapat hasil hutan menyumbang kepada ekonomi sesebuah negeri dan pada masa sama pembangunan perlu dilaksanakan.

Justeru, di kawasan yang berhampiran dengan kawasan berpenduduk, hutan harus dikorbankan bagi memberi ruang kepada generasi seterusnya.

Penerokaan hutan untuk pertanian

Begitu juga penerokaan hutan dilihat perlu bagi meneruskan agenda pertanian terutama komoditi pertanian dan dalam keadaan tertentu penerokaan hutan untuk perladangan dilihat mengubah taraf kehidupan sesetengah kumpulan masyarakat. Walaupun ladang komoditi dianggap sebahagian daripada kehijauan yang mewarnai bumi negara ini oleh pihak berkepentingan, bagi NGO alam sekitar, kehijauan berkenaan tidak sama kerana ia diisi dengan hanya satu spesies pokok sedangkan hutan didefinisikan sebagai kawasan yang perlu ada 8,000 spesies pokok.

Melihat kepada alam sekitar secara keseluruhan yang turut mencakupi samudera negara, timbul pula dilema, iaitu antara pemuliharaan dan keperluan hidup. Dengan ada yang melihat kemusnahan alam sekitar berlaku akibat desakan untuk mencari makan, tindakan menghalang perkara ini dilakukan penduduk berkepentingan menjadi seakan pemusnah kehidupan mereka yang seolah memiskinkan lagi mereka yang sudah sedia miskin.

Namun, walau apa pun pandangan dikemukakan, sebenarnya kita memerlukan hutan dan samudera yang sejahtera bagi memperoleh kehidupan penuh makna. Perubahan cuaca yang berlaku harus menjadi titik kepada semua pihak menilai semula peranan mereka terhadap pemuliharaan alam sekitar yang mana jika tidak kemusnahan lebih teruk menjadi ganjaran kepada semua.

Lestarikan bumi

Justeru, ramai yang melihat banjir besar melanda beberapa negeri di Semenanjung pada Disember lalu yang kemudiannya menjangkit ke Sabah dan Sarawak, sebagai titik tolak untuk semua pihak kembali melestarikan bumi Malaysia yang mana dikatakan sudah kehilangan hampir 70 peratus hutan hujan yang di dalamnya terkandung pelbagai rahsia dan misteri.

Tidak menolak segala persoalan dibentangkan mereka yang bertentangan pendapat dengan mereka, NGO alam sekitar sebenarnya mengharapkan walau apa pun dilakukan ia perlu dilaksanakan dengan penuh lestari dan bertanggungjawab dan bagi mereka inilah kata kunci sebenarnya dan apa yang dilakukan itu ada hadnya dan tidak dilakukan sewenang-wenangnya.

Inilah antara apa yang dilontarkan beberapa pihak berkaitan alam sekitar pada Forum Media Khazanah Alam PEKA-MPI 2015, baru-baru ini. Program yang dianjurkan bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) dan Institut Akhbar  Malaysia (MPI) dihadiri kira-kira 100 peserta terdiri daripada wakil NGO berkaitan alam sekitar, wakil institusi pengajian tinggi dan pengamal media.

Menyangkal pandangan mereka yang menganggap ladang kelapa sawit dan getah sebagai hutan, Naib Presiden PEKA, Dr Abdul Razak Abdul Rahman, berkata hutan ini hanya ada satu jenis pokok dan bertanya, lantas kepelbagaian apakah yang ditawarkan. Ini juga bertentangan dengan sifat semula jadi hutan hujan yang bertindak sebagai sumber air dan dari aspek lain, adalah pengawal banjir yang cukup hebat.
Kepentingan hutan hujan

Inilah sebenarnya pasangan sejoli, hujan yang banyak diterima rantau sebelah sini ditemukan dengan hutan hujan yang menjadi pelengkap kepada kejadian alam dan apabila ia dipisahkan, maka kesannya adalah banjir yang diterima. Tiada lagi kesepaduan antara keduanya dan ungkapan lengkap melengkapi menjadi satu tinggalan yang kesan akhirnya kepada manusia itu sendiri.

Jika dilihat dari satu aspek, hutan sebegini ‘menghalau’ penghuni asalnya yang satu masa dahulu membiak kerana habitat yang ada membolehkan proses ini berlaku dan kini kehijauan dinikmati tidak sama dan walaupun ada masanya mereka berkunjung juga ke tanah asal itu, tetapi kehadiran mereka dilihat sebagai ancaman kepada tuan baharu.

Jelas Abdul Razak, Malaysia kehilangan bilangan hektar yang besar hutan hujan setahun yang menjadi sumber air dan bagi pemegang konsesi mereka diberi tempoh satu hingga tiga tahun untuk menanam semula, namun sukar untuk dipastikan pihak yang bertanggungjawab melaksanakan tugas penting ini, memantau proses penanaman semula. Dakwanya lagi, sukar juga untuk dipastikan sama ada royalti diterima digunakan untuk tanam semula.

Ketidaklestarian dalam penerokaan hutan inilah yang sebenarnya dibimbangkan NGO alam sekitar dan sebagaimana kata Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, kegiatan ini bukan sahaja menggugat kehidupan, tetapi juga menjauhkan pelancong dari negara ini dengan United Kingdom contohnya telah mengeluarkan Taman Negara dari destinasi pelancongan mereka.

Kelestarian hutan menyumbang kepada pendapatan negara

Jadi, di mana benarnya hanya pembalakan mampu memberikan sumber ekonomi kepada negara sebaliknya kelestarian hutan juga sebenarnya mampu menyumbang pendapatan, justeru menjaga dan memuliharanya bukan sahaja mengekalkan kehijauan yang ada, tetapi juga memberi kebaikan kepada semua.

Sebagaimana katanya lagi, kemusnahan hutan menyebabkan sungai menjadi kecil, air menjadi keruh dan kita kehilangan banyak spesies haiwan dan keajaiban inilah yang hendak dilihat dan diwariskan kepada generasi seterusnya.

Menyambung hujah ini, Penyelidik di Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata kita dikenali kerana mempunyai hutan paya bakau yang terpelihara di daerah Larut Matang, tetapi tidak begitu keadaannya di daerah Manjung yang mana hutan berkenaan mengalami kemusnahan kesan daripada pembangunan.

Kedua-duanya berada di negeri yang sama dan kedudukannya juga tidaklah begitu jauh, namun dua situasi ini mampu memberikan kita persepsi yang pelbagai dan jelas apa yang berlaku di Manjung perlukan pembelaan, kerana hutan paya bakau adalah antara tembok terbaik untuk ancaman tsunami yang mana fungsi ini perlu dijaga dengan sebaiknya.

Isu Cameron Highlands

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha 1 (Pengurusan Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor, berkata isu alam sekitar terletak di bawah Kerajaan Negeri dan ada masanya Kerajaan Persekutuan perlu masuk campur seperti apa yang berlaku di Cameron Highlands dan isu alam sekitar sebenarnya membabitkan semua.

Daripada apa yang diperkatakan, jelas kita memerlukan satu pendekatan lebih tegas dalam menangani dan mengawasi proses penerokaan hutan di negara ini supaya usaha mengekalkan dan memulihara apa yang ada dapat dilakukan dengan sebaiknya dengan apa yang lebih penting adalah kualiti kehidupan rakyat dapat dijamin kerana tiada gunanya kita menjadi negara maju tetapi khazanah berharga menjadi gadaian.

Justeru, antara sumber pendapatan kepada kerajaan negeri dan kepentingan manusia secara keseluruhan, kelestarian hutan perlu menjadi agenda kerajaan negeri kerana kesejahteraan hidup juga adalah sesuatu yang penting dan tona-tona kehijauan hutan adalah satu warna yang cukup menenangkan.

Teknologi Hijau

Apabila sesebuah negara semakin pesat membangun, populasinya semakin meningkat. Ini menyebabkan kadar permintaan terhadap sesuatu keperluan adalah tinggi. Gaya hidup manusia yang mahukan kehidupan lebih baik seperti rumah, bekalan elektrik dan air, kereta dan lain-lain menyebabkan permintaan terhadap sumber semula jadi semakin meningkat.

Pengurusan sumber semula jadi yang tidak terancang seperti pembalakan tidak terkawal, penerokaan tanah secara berleluasa, pelepasan gas karbon dioksida ke atmosfera, pembuangan sisa pepejal dan sebagainya menyebabkan pencemaran. Jika pengurusan sumber semula jadi ini tidak diuruskan dengan baik, ia turut menjejaskan kualiti hidup manusia dan alam sekitar.

Justeru, masyarakat dunia kini menghadapi dua cabaran utama, iaitu isu perubahan iklim dan keselamatan tenaga. Kedua-dua isu ini harus ditangani secara kolektif dan efektif. Satu pendekatan yang kritis amatlah penting.

Berdasarkan keperluan ini, teknologi hijau menjadi portfolio Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, (KeTHHA) yang ditubuhkan pada 9 April 2009. Teknologi hijau mempunyai peranan strategik yang lebih jauh daripada setakat mencapai autonomi tenaga dan menangani perubahan cuaca.
Teknologi hijau turut membantu pembangunan masyarakat berilmu yang mendorong ke arah mempraktikkan tenaga lestari dan cara hidup lebih baik. Kita boleh hidup lebih lestari jika kita menjadi seorang yang lebih celik alam sekitar, belajar daripada alam semula jadi, hidup dengan lebih sederhana dan menjadi rakyat yang aktif dalam membangunkan alam sekitar.

Teknologi hijau adalah pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi, dan meminimumkan kesan negatif daripada aktiviti manusia.

Teknologi hijau merujuk produk, peralatan atau sistem yang memenuhi kriteria seperti meminimumkan degradasi kualiti persekitaran, mempunyai pembebasan gas rumah hijau yang rendah atau sifar, selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan, menjimatkan tenaga dan sumber asli dan menggalakkan sumber yang boleh diperbaharui.

Ia adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk.

Dasar Teknologi Hijau

Dasar Teknologi Hijau Negara (DTHN) dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Julai 2009 dan menekankan aspek pemacuan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan mapan. Pembangunan mapan hendaklah memenuhi keperluan masyarakat masa kini tanpa mengabaikan keperluan generasi akan datang.

Ia adalah berasaskan empat tunggak iaitu tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Dari aspek tenaga, teknologi hijau mencari kaedah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pada masa sama mempromosikan kecekapan guna tenaga. Dari aspek alam sekitar, kesan kepada alam sekitar dapat diminimumkan dan dipelihara.

Dari aspek ekonomi, teknologi hijau meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi. Dari segi sosial pula, kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan.

Seperti kita semua sedia maklum, pemanasan global dikaitkan dengan kenaikan suhu dunia. Dunia dikatakan semakin hari semakin panas. Kenaikan elemen suhu di seluruh dunia ini berkait rapat dengan aktiviti manusia yang mengganggu keseimbangan sistem bumi khususnya sistem atmosfera.

Fenomena pemanasan global

Dari sudut imbangan haba, fenomena pemanasan global memberi makna wujudnya ketidakseimbangan dalam bajet haba. Input haba diterima oleh sistem bumi berlebihan berbanding outputnya. Justeru, kenaikan suhu pada semua skala sama ada mikro atau makro.

Mengikut Profesor James G Titus dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat: ‘Terdapat peningkatan suhu dunia antara 0.4 hingga 0.5 darjah Celsius pada setiap lima tahun bermula pada tahun 1952. Dianggarkan antara tahun 1990 hingga 2025 suhu dunia akan meningkat antara 0.8 hingga 3.6 darjah Celsius.’

Pemanasan global terjadi melalui dua mekanisme penting iaitu melalui kesan rumah hijau dan juga penipisan lapisan ozon. Walaupun terdapat punca semulajadi, tetapi aktiviti manusia lebih banyak menyumbang terhadap kedua-dua mekanisme di atas. Kesan rumah hijau banyak disumbangkan oleh gas karbon dioksida.

Lantaran itu penekanan terhadap ‘teknologi hijau’ adalah alternatif tepat dalam menangani masalah kesan rumah hijau ini selaras dengan agenda utama kerajaan seluruh dunia pada masa kini yang memberi keutamaan kepada isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca.

Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.

Seperti yang kita tahu, teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semula jadi bagi menangani impak negatif aktiviti manusia seperti pengeluaran asap hitam yang membahayakan oleh kilang, penggunaan bahan bakar kenderaan bermotor, pemusnahan alam semula jadi, pencemaran sungai, pelepasan karbon ke udara dan sebagainya. Teknologi hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding teknologi sedia ada.

Untuk menggalakkan pembangunan aktiviti teknologi hijau, kerajaan telah menyediakan insentif berikut:

1) Dalam Bajet 2010 memperuntukkan RM1.5 billion sebagai pinjaman mudah kepada pengeluar serta pengguna Teknologi Hijau di seluruh Negara melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS);

2) Pemilik bangunan yang memperoleh sijil Indeks Bangunan Hijau (GBI) mulai 24 Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014 diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan perbelanjaan modal tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan;

3) Pembeli rumah yang memperoleh sijil GBI daripada pemaju hartanah diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik; dan

4) Jumlah pengecualian adalah bersamaan dengan kos tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan. Pengecualian ini adalah layak bagi pembeli yang menyempurnakan perjanjian jual beli mulai 24

Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014.
Manfaat teknologi hijau

Umumnya, teknologi hijau memfokuskan kepada empat kebaikan. Dari aspek tenaga, teknologi hijau diharapkan dapat membantu mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga negara. Teknologi hijau merangkumi sumber tenaga seperti angin, air, solar, hibrid dan lain-lain yang bersumberkan alam semula jadi.

Teknologi hijau terbukti lebih cekap kerana ia boleh menjana tenaga dalam pelbagai keadaan dengan kos murah, selamat dan mesra pengguna. Ini dapat dibuktikan melalui pengalaman dan amalan di negara maju yang telah membangunkan industri ini sejak sekian lama.

Teknologi hijau dapat membantu memulihara dan meminimumkan kesan buruk kepada alam sekitar. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat jika dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minimum. Ia dapat meningkatkan dan melindungi ekosistem dan kepelbagaian hidup, meningkatkan kualiti udara dan air, mengurangkan pembuangan bahan tercemar dan melindungi sumber semula jadi.

Dari aspek ekonomi, teknologi ini mampu meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua kehidupan manusia dan biodiversiti umumnya.

Teknologi hijau mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Ia dapat membantu mengurangkan kos operasi, meningkatkan nilai aset dan keuntungan. Teknologi ini juga dapat meningkatkan produktiviti dan kepuasan pekerja. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Prestasi kitar hidup ekonomi juga dapat dioptimumkan.

Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk ‘hijau’ yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenal pasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk Malaysia.

Dari segi komuniti, teknologi hijau dapat meningkatkan kualiti udara, terma dan bunyi persekitaran. Contoh, penggunaan kereta enjin hibrid. Hal ini dapat meningkatkan keselesaan dan kesihatan penghuni bandar, mengurangkan masalah infrastruktur tempatan dan meningkatkan kualiti hidup.

Antara bangunan hijau di Malaysia ialah Pusat Tenaga Malaysia (PTM), iaitu bangunan hijau berkonsepkan bangunan tenaga rendah dan mesra alam, selain dilengkapi sistem building integrated photovoltaic (BIPV) yang mesra alam kerana tidak mencemar selain mengurangkan penggunaan tenaga daripada sumber bahan api fosil.

Tonggak utama DTHN meliputi tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Walau bagaimanapun, kesungguhan kerajaan menggerakkan pembangunan dan penggunaan teknologi hijau tidak akan menghasilkan impak yang diharapkan tanpa bantuan dan kesedaran rakyat.

Berikutan itu, dana sebanyak RM20 juta diperuntukkan kerajaan untuk memperhebat aktiviti kesedaran rakyat mengenai perlunya menghijaukan persekitaran dan mengamalkan budaya hidup yang mesra alam. Ini selaras dengan strategi pelaksanaan DTHN iaitu mempertingkat promosi dan kesedaran awam mengenai teknologi hijau dan kepenggunaannya.

Langkah kerajaan memajukan teknologi hijau

Usaha ini juga sejajar dengan keputusan mewujudkan dana berjumlah RM1.5 bilion dalam memajukan pembekalan dan penggunaan teknologi hijau. Melalui dana ini, syarikat pengeluar dan pengguna teknologi hijau dapat membuat pinjaman untuk membiayai aktiviti yang menyokong pertumbuhan industri teknologi hijau. Pinjaman maksimum untuk syarikat pengeluar sehingga RM50 juta dan syarikat pengguna sehingga RM10 juta membuktikan bahawa kerajaan benar-benar komited memajukan industri ini.

Kerajaan turut menanggung dua peratus daripada jumlah kadar faedah pinjaman tersebut dengan nisbah jaminan 60 peratus dan institusi perbankan 40 peratus. Permohonan pinjaman pula boleh dibuat melalui Pusat Teknologi Hijau Negara. Skim ini yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2010 memberikan faedah kepada lebih daripada 140 syarikat.

Beberapa langkah diambil memperkukuh struktur pelaksanaan dan pembangunan teknologi hijau serta mengantarabangsakan potensi penggunaannya.

Misalnya, dalam Bajet 2010 kerajaan menstrukturkan semula Pusat Tenaga Malaysia menjadi Pusat Teknologi Hijau Negara. Pusat ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyediakan pelan tindakan pembangunan teknologi hijau dan berperanan sebagai agensi yang menetapkan piawaian dan mempromosi teknologi hijau.

Strategi mewujudkan persekitaran kondusif bagi pembangunan teknologi hijau juga penting. Strategi ini pastinya tidak berjaya dilaksanakan tanpa instrumen ekonomi yang inovatif. Strategi ini juga sukar dilaksanakan tanpa sebarang dana untuk menggalakkan usaha merancakkan promosi terutama untuk menarik pelaburan langsung asing dalam industri teknologi hijau dan merangsang pelaburan langsung domestik industri tempatan.

Strategi mewujudkan persekitaran kondusif ini penting dalam usaha menjadikan Malaysia pangkalan teknologi hijau serantau khususnya bagi tenaga yang boleh diperbaharui seperti teknologi solar fotovoltanik. Begitu juga galakan fiskal dan peruntukan bajet diperlukan untuk melaksanakan program latihan dan pendidikan bagi merangsang pembangunan modal insan dalam industri teknologi hijau.

Selain itu, dana juga diperlukan bagi menyediakan bantuan kewangan dan insentif untuk menggalakkan pelajar di institusi pengajian tinggi memilih bidang pengajian yang berkaitan dengan teknologi hijau.

Kejayaan DTHN turut dipengaruhi ketelusan dan kecekapan pentadbiran dan pengurusan pelaksanaan. Sehubungan itu, strategi membabitkan langkah memperkukuh rangka kerja pada peringkat institusi seperti kementerian, agensi, sektor swasta, dan pihak yang berkepentingan.

Untuk menjayakan strategi ini, kerajaan menubuhkan Majlis Teknologi Hijau yang bertujuan memastikan penyelarasan pada peringkat tertinggi bagi mengimplementasikan dasar yang cekap. Majlis ini dipengerusikan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri secara bergilir-gilir. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pula memainkan peranan utama menyelaras dan mempermudah peranan semua pihak berkepentingan demi kejayaan pelaksanaan teknologi hijau.

Aplikasi Teknologi Hijau adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan yang mana pembangunan dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita peroleh sekarang atau kualiti lebih baik dari sekarang.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA Kelantan

Membentuk minda, sikap kelas pertama cintakan kebersihan

Pemandangan segelintir penduduk di beberapa pekan serta bandar Australia berkaki ayam ketika keluar dari kenderaan untuk ke pasar raya atau bersiar-siar setiap kali tiba musim panas bukanlah sesuatu yang unik atau pelik. Malah, mengikut rakan yang pernah berkunjung ke New Zealand, perkara sama turut dilakukan penduduk negara itu setiap kali tiba musim panas.

Tahap kebersihan yang tinggi di bandar serta pekan di negara maju itu menyebabkan penduduknya hilang rasa jijik untuk memijak laluan pejalan kaki, tanah, rumput atau jalan raya tanpa sebarang alas kaki.

Apabila bercakap mengenai kebersihan, perkara pokok yang perlu ditangani adalah sikap masyarakat itu sendiri terhadap pengurusan kebersihan. Tidak dinafikan ada negara maju yang mengambil masa ratusan tahun untuk menerapkan budaya mementingkan kebersihan dan alam sekitar dalam kalangan rakyatnya.

Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Begitu juga dengan sikap dan tabiat masyarakat negara ini.

Dalam usaha membentuk minda, sikap dan tabiat serta budaya penduduk negara ini menjadi masyarakat berminda kelas pertama yang bertanggungjawab, memiliki nilai etika, progresif dan kesedaran tinggi dalam kebersihan serta keindahan persekitaran dan kelestarian alam sekitar, Solid Waste Corporation (SWCorp) menyediakan Pelan Transformasi Minda (PTM).

Berbekalkan enam fasa iaitu kesedaran, pendidikan, amalan, penghayatan, pembudayaan dan penyebaran, SWCorp berharap dapat mewujudkan persekitaran bersih dan indah serta hijau dan masyarakat bangga serta mahu turut serta mengekalkan kebersihan dan keindahan alam sekitar.

Berbalik kepada jumlah sisa pepejal negara, ia meningkat kepada 33,000 tan sehari pada tahun 2013 berbanding hanya 19,000 tan sehari pada tahun 2005.

Bukan itu sahaja, kadar kitar semula nasional masih rendah iaitu 10.5 peratus berbanding negara maju yang sudah melebihi 40 peratus.

Lebih menyedihkan, kandungan sisa makanan dalam sisa pepejal yang dibuang juga adalah tinggi iaitu sebanyak 45 peratus atau 15,000 tan sehari. Daripada jumlah ini, sebanyak 60 peratus atau 8,000 tan sehari adalah pembaziran makanan yang boleh dikurangkan (bersamaan dengan sumber bekalan makanan untuk seramai enam juta orang).

Cabaran terap semangat cinta kebersihan, kurang bazir

Antara cabaran dihadapi dalam menerapkan semangat cintakan kebersihan dan mengurangkan pembaziran adalah kurang penekanan terhadap pendekatan mendidik dan membentuk masyarakat supaya menghargai dan bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran dan pengurusan sisa pepejal yang sempurna.

Tahap kesedaran masyarakat yang rendah mengenai keperluan untuk mengamalkan 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula) berikutan kurang pengetahuan dan tidak menghargai nilai sisa pepejal terutama dalam situasi sekarang yang mana sumber asli semakin berkurangan turut memburukkan keadaan.

Bukan itu sahaja, semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat untuk sama-sama memastikan keadaan persekitaran sentiasa bersih dan indah juga masih belum memuaskan. Kebanjiran warga asing di negara ini yang mempunyai tabiat dan budaya mengenai kebersihan yang berbeza turut menyukarkan untuk memastikan tahap kebersihan yang mapan.

Sikap masyarakat menganggap tanggungjawab membersihkan persekitaran di atas bahu pihak berkuasa turut menambah masalah. Tanpa rasa bersalah sampah dibuang merata-rata kerana sentiasa berasakan ada pekerja pembersihan akan mengutip sampah mereka, dan ini benar-benar tidak membantu dalam meningkatkan kebersihan.

Selain itu, antara cabaran dikenal pasti adalah kekangan kewangan negara kerana kos penyediaan infrastruktur yang tinggi dan semakin meningkat. Kemudahan 3R masih lagi tidak mencukupi dan menyeluruh.

Tapak membina kemudahan juga terhad dan sukar diperoleh. Lebih membimbangkan, jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada yang semakin berkurangan. Ini kerana, persepsi masyarakat yang tidak menerima kemudahan pelupusan dan pengolahan sisa pepejal yang dibina berhampiran dengan kawasan mereka yang kadang kala disebabkan kepentingan pihak tertentu.

Selain itu, negara turut berdepan kekurangan kepakaran dalam teknologi terkini pengurusan sisa pepejal, selain pengetahuan yang rendah mengenai kemudahan dan faedah pengolahan sisa pepejal yang terkini.

Bagi melaksanakan PTM ini, SWcorp menggunakan pendekatan strategik sebagai elemen penting untuk memastikan pelaksanaannya dapat dilakukan dengan berkesan dan memastikan hasil ditetapkan dapat direalisasikan.

Pendekatan itu dikenali sebagai C4E iaitu Communicate (komunikasi), Educate (mendidik), Engage (membabitkan), Empower (memberi tanggungjawab) dan Enforce (menguatkuasa) dan WHM iaitu Winning The Hearts And Minds (memenangi hati dan minda).

Komunikasi berkesan adalah pendekatan utama dan penting dalam pelaksanaan pelan transformasi ini. Kaedah yang digunakan bersesuaian dengan kumpulan sasaran serta jenis maklumat pendidikan yang ingin disampaikan.

Usaha mendidik masyarakat dalam menukar minda itu boleh dilaksanakan secara formal dan sebaliknya, untuk mengembangkan potensi serta membentuk kepelbagaian kefahaman, kemahiran dan amalan.

Pembabitan semua pihak bagi menjayakan program dirancang amat penting kerana penjagaan kebersihan persekitaran dan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama.

Agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis kebersihan dan alam sekitar perlu diajak bersama dalam menjayakan program untuk mendekati serta memenangi hati dan nurani masyarakat bagi mereka turut menyokong, membabitkan diri dan menjayakan program dan aktiviti yang dijalankan agensi berkenaan.

Melalui pendekatan ini, SWCorp berharap masyarakat dapat diberi tanggungjawab melaksanakan aktiviti yang sesuai mengikut keperluan komuniti seperti mengaturkan sendiri program gotong-royong, penyeliaan dan pemantauan tahap kebersihan, menguruskan pusat kitar semula dan pengkomposan.

Penguatkuasaan tegas, adil

Penguatkuasaan adalah satu kaedah yang mampu memberikan kesan mendalam sekiranya ia dilaksanakan dengan tegas tetapi adil, telus dan berterusan.

Kaedah ini khususnya perlu untuk membendung segelintir golongan masyarakat yang masih degil, tidak berdisiplin dan tidak memberi kerjasama serta mementingkan diri yang mempunyai tabiat buruk dalam menjaga kebersihan persekitaran.

Menerusi WHM ini, masyarakat akan didampingi dengan cara yang lebih berkesan untuk mendapatkan sokongan, kerjasama dan penerimaan dalam menjayakan segala strategi dan program direncanakan.

SWCorp menggariskan pendekatan 3’O’ iaitu Open Heart (berlapang hati) iaitu sentiasa membuka pintu hati untuk menerima secara ikhlas tanpa prejudis bagi mewujudkan suasana yang sentiasa harmoni dan saling hormat-menghormati.

Open Mind (minda terbuka) iaitu bersifat terbuka dan bersedia menerima pandangan daripada pihak luar dan dalaman yang boleh digunakan untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi. Open Door (terbuka) iaitu sentiasa memberi akses kepada semua pihak dan peringkat melalui pelbagai saluran.

Masyarakat perlu melihat dengan mata hati dan menghargai keperluan penjagaan alam sekitar. Ini kerana, ia adalah anugerah dan amanah daripada Pencipta.

Menerapkan kefahaman dalam masyarakat bahawa pengurusan sisa pepejal dan kebersihan persekitaran adalah tanggungjawab bersama. Misalnya, dalam majlis atau acara, pihak penganjur boleh menyediakan tong sampah 3R dan mengingatkan masyarakat supaya tidak mencemarkan longkang.

Pengiktirafan dan penghargaan juga boleh diberikan kepada pihak yang mempelopori atau bertanggungjawab menjaga kebersihan dan pengurusan sisa pepejal.

Menggunakan pendekatan amalan agama bagi aspek kebersihan turut menjadi strategi dalam PTM ini. Dalam Islam sendiri, kebersihan itu adalah sebahagian iman. Justeru, sebagai penganut Islam, kita perlu mengutamakan kebersihan dan keindahan kerana ia disukai Allah.

Terap disiplin, patuhi peraturan

Strategi lain dalam PTM adalah menjadikan masyarakat yang berdisiplin dan mematuhi peraturan yang berkaitan alam sekitar dan kebersihan termasuk menerapkan pendidikan dan kesedaran kepada pemegang taruh (pemain industri pengurusan sisa pepejal dan NGO) mengenai peraturan dan penguatkuasaan yang berkaitan dengan pengurusan sisa pepejal dan kebersihan persekitaran.

Kita mahu melahirkan masyarakat yang mengutamakan keindahan dan kebersihan alam sekitar dengan mewujudkan persekitaran bersih dan indah. Kita mahu masyarakat menghargainya dan bangga serta ingin mengekalkan kebersihan, selain menerapkan sifat jijik terhadap kekotoran.

Menangani Banjir

Langkah pengurangan risiko

Banyak yang boleh kita pelajari daripada pengalaman banjir besar kali ini. Jika tiada sebarang tindakan adaptasi dan tebatan, kita bakal mengalami bencana banjir lebih besar 100 atau 1,000 tahun akan datang! Soalnya, banyak mana dana yang mampu dicurahkan di lembangan Sungai Kelantan atau sungai besar lain untuk mengelakkan bencana banjir besar berulang?

Saya percaya jika kita memahami fenomena banjir besar tahun lalu, banyak tindakan kecil dan sederhana secara berterusan boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko banjir.

Kelantan umpamanya, perlu ada dasar, perancangan dan pelan tindakan mengurangkan risiko banjir yang mantap. Pelan ini perlu diintegrasi dengan pelan pembangunan sosial dan ekonomi supaya ia dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.

Sebahagian besar tebing Sungai Lebir terhakis teruk.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian:

1) Kemerosotan kualiti alam sekitar menjadi punca utama kejadian bencana dan kemusnahan besar harta benda akibat banjir. Aktiviti pembersihan hutan dan pertanian perlu dirancang dan diurus secara berhemah untuk meminimumkan impak alam sekitar. Kawasan bertebing curam tidak boleh diteroka dan perlu dibiarkan dalam keadaan tabii. Zon penampan sepanjang persisir sungai perlu diperkenalkan untuk menghindar daripada proses hakisan tebing dan kemusnahan penempatan penduduk.

2) Kaji semua kawasan dilanda banjir yang mengakibatkan kemusnahan harta benda. Dapatkan jawapan kepada apakah punca atau kuasa pemusnah? Apakah punca ini dapat dihindarkan pada masa hadapan? Apakah ada cara untuk meminimumkan risiko bencana banjir berulang? Rancang proses pemulihan berasaskan kepada jawapan yang tepat dan keupayaan jangka panjang.

3) Beberapa bandar, pekan dan kampung dinaiki air banjir perlu dikaji dengan teliti. Ada yang ketinggian air banjir mencapai 15 meter. Apakah punca sebenar paras banjir boleh naik setinggi itu? Bolehkah kita menerima hakikat banjir begini berulang? Jika bandar atau pekan ingin dikekalkan di tempat asal, apakah langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan untuk menghindar bencana banjir akan datang? Perlu ada perancangan pembaharuan bandar.

4) Banyak kawasan yang kurang sesuai untuk penempatan dan selalu berhadapan dengan banjir telah dibangunkan secara sah atau haram. Apakah tindakan yang perlu dilakukan kerajaan atau penduduk itu sendiri? Dasar menghindar penempatan di kawasan berisiko bencana banjir tinggi perlu diwujudkan. Beberapa penempatan dan perkampungan perlu dipindahkan di kawasan lebih selamat secara segera dan beransur-ansur.

5) Kebanyakan jambatan dibina merentasi sungai dan cabang Sungai Lebir dan Galas telah ditenggelami air banjir mencapai hingga lima meter. Ada jambatan yang rosak, ada pula bertahan dan menjadi penghalang laluan air banjir sehingga menyebabkan kampung berhampiran mengalami bencana teruk. Reka bentuk jambatan baharu perlu mengambil kira fenomena paras banjir terbaharu dan jambatan sedia ada perlu diganti dengan yang reka bentuk baharu secara beransur.

Belajar daripada bencana

Kita perlu belajar daripada bencana banjir besar terbaharu untuk berhadapan dengan peristiwa banjir masa hadapan. Tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana berpandangan jauh menyediakan dana RM20 juta untuk mengkaji bencana alam, khususnya bencana banjir besar tahun 2014.

Ahli akademik perlu mengambil peluang melaksanakan seruan ini dan memberikan jawapan yang sangat diperlukan oleh kerajaan dan masyarakat. Marilah kita bersama mengamalkan budaya mengurangkan risiko bencana.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu dan juga Ketua Kluster, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara

Menjamin keharmonian konsep federalisme

Jerih  payah pemimpin terdahulu di dalam mencapai kemerdekaan
TATKALA Tanah Melayu mahu mencapai kemerdekaan, konsep kenegaraan yang mahu diambil adalah bersifat persekutuan dengan bermotokan ‘Bersekutu Bertambah Mutu’. Perkara ini diperkukuhkan lagi apabila Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia dengan di mana terdapat peruntukan khas diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

Dalam sesebuah negara persekutuan ciri utamanya ialah terdapat taburan kuasa perundangan antara Persekutuan dan Wilayah-Wilayah di dalamnya. Ini bermakna ada dua badan perundangan yang mempunyai kuasa membuat undang-undang iaitu Persekutuan dan Wilayah-Wilayah.

Dalam konteks Persekutuan Tanah Melayu atau kini Malaysia, kuasa perundangan ini diberikan kepada Persekutuan (melalui Parlimen) dan Negeri-Negeri (melalui Dewan-Dewan Undangan Negeri). Secara umumnya, bagi memastikan tiada pertelingkahan antara pembuat-pembuat undang-undang ini, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan telah menggariskan bidang perundangan masing-masing.

Terdapat tiga senarai di dalam Jadual Kesembilan tersebut iaitu Senarai I (Kuasa Persekutuan) Senarai II (Kuasa Negeri) dan Senarai III (Kuasa Bersama). Taburan kuasa seperti ini perlu di dalam mana-mana negara yang mengamalkan prinsip federalisme seperti Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat.

Bagi memudahkan pemahaman awam, lebih mudah dikatakan bahawa Parlimen mempunyai kuasa membuat undang-undang yang disenaraikan dalam Senarai I dan III manakala Dewan-Dewan Undang Negeri masing-masing mempunyai kuasa membuat undang-undang yang tersenarai di dalam Senarai II dan III. Namun, terdapat beberapa pengecualian yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan untuk tidak terikat secara harfiah senarai butiran yang ada tersebut.

Sebagai contoh kuasa mengenai perbankan adalah disenaraikan di dalam Senarai I, dalam hal yang demikian Dewan Undangan Negeri tidak boleh membuat undang-undang berkaitan dengan perbankan. Begitu juga dalam hal ehwal Islam, melainkan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, ia terletak di dalam bidang kuasa negeri. Oleh itu Kerajaan Persekutuan tidak boleh mengganggu kuasa Dewan Undangan Negeri ini, apatah lagi setiap negeri mempunyai ketua agama Islamnya sendiri iaitu Sultan ataupun Yang Di Pertuan Agong.

Dalam hal ini jika Kerajaan Persekutuan mencampuri hal ehwal agama Islam atau meletakkan syarat pemakaian undang-undang Islam sebagaimana yang disenaraikan di dalam Senarai II ia mempunyai risiko bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, Kerajaan Persekutuan dan segala agensi di bawahnya tidak boleh melangkaui bidang kuasa yang diberikan kepada mereka begitu juga sebaliknya.

KURANG DIHAYATI

Kebelakangan ini penulis dapat merasakan konsep federalisme ini amat kurang dihayati yang menjurus kepada ketidakprihatinan kepada pematuhan senarai-senarai yang diwujudkan di dalam Jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan tersebut. Acapkali kita dengar, sama ada di peringkat ahli politik ataupun agensi kerajaan yang menyarankan perkara-perkara bukan di bawah kuasa perundangan mereka.

Penulis merasakan amat perlu bagi golongan ini melihat dan memperhalusi senarai-senarai yang wujud di dalam jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan itu bagi menjamin keharmonian konsep federalisme ini. Kegagalan mematuhi Jadual kesembilan tersebut mungkin akan menyebabkan sesuatu undang-undang atau tindakan itu diputuskan tidak berperlembagaan oleh mahkamah kelak.

Sudah pasti apabila perkara tersebut berlaku, ia menzahirkan kejelikan ilmu perundangan yang ada dan akan menyebabkan suatu keaiban kerana gagal mematuhi Jadual Kesembilan tersebut. Walau apapun tujuan atau niat seseorang ingin membuat kebaikan tidak seharusnya Jadual Kesembilan ini dikesampingkan. Ia merupakan jati diri atau ciri asas kepada Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Dalam perkara berkaitan agama Islam memang sudah jelas bagi selain Wilayah-Wilayah Persekutuan, Negeri mempunyai kuasa penuh mengenainya. Malah di sesebuah negeri Agama Islam itu pula mempunyai ketuanya. Jika pihak persekutuan mencampuri urusan agama sesebuah negeri secara tidak langsungnya ia juga mencampuri urusan ketua agama negeri tersebut.

PRINSIP taburan kuasa antara persekutuan dan negeri ini telah berjalan begitu baik selama ini. Ia janganlah diganggu. Mungkin Malaysia tidak sama dengan negara lain seperti Brunei dan Singapura, tetapi konsep inilah yang telah disepakati di dalam negara.

Walaupun mungkin ada kekhilafan dan ketiadaan persefahaman antara persekutuan dan negeri, tetapi norma ini merupakan formula yang terbaik buat Malaysia sehingga kini. Janganlah menganggap ia sebagai penghalang tetapi sebaliknya sebagai wadah saling hormat menghormati antara satu sama lain di dalam membangunkan negeri dan negara.

Pemusatan kuasa kepada satu badan perundangan sahaja juga mempunyai risiko, di mana ada kebarangkalian ia disalah guna dan tiada suatu badan lain dapat bertindak sebagai pemeriksa.

Mungkin ia sesuai bagi sesetengah negara tetapi tidak sesuai bagi negara yang lain.

Penulis amat yakin apa yang telah digariskan oleh negarawan kita semasa ingin mengecapi kemerdekaan dahulu mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat.

Garapan formula tersebut sudah terbukti berjaya membentuk sebuah negara yang berdaulat aman dan makmur.

Jerih payah pemimpin terdahulu di dalam mencapai kemerdekaan hendaklah dijadikan teladan bagi kita dan teruskan kesinambungan negara dengan memegang erat ciri-ciri asas Perlembagaan Persekutuan tersebut.

Apa yang perlu dilakukan sekarang ia menerima Perlembagaan Persekutuan tersebut seadanya.

Tafsiran yang sesuai diberikan di dalam perkara yang masih kabur tetapi di dalam perkara yang telah jelas, ia hendaklah diperakukan dan dilaksanakan.

Dengan cara ini kelangsungan kedaulatan dan jati diri negara akan terus terpelihara.

Penggal 2, Cara menentukan jenis graf :

1. Graf Bar Kompaun

– keyword : (a) mempunyai satu perkara sahaja

2. Graf Bar Komponen

– keyword : satu perkara sahaja serta mempunyai perkataan jumlah

3. Graf Bar Piramid Kompaun

– keyword : (a) mempunyai dua tempat/perkara (cth : sabah dan Sarawak)

(b) tertulis tahun(cth: 2004,2005 dan 2006)

4. Graf Bar Memesong

– keyword : kadar perubahan/peratus perubahan

5. Graf Gabungan (Graf garis and graf bar kompenen)

– keyword : (a) mempunyai dua soalan dan kedua-dua soalan ada perkataan jumlah

(cth: jumlah komersial utama utama terpilih mengikut kes dan jumlah kerugian kes)

6. Graf Gabungan (Graf garis and graf bar kompaun)

– keyword : (a) mempunyai dua perkara serta mempunyai perkataan aliran dalam soalan

(cth: nilai import dan eksport serta aliran imbangan)

7. Graf Garis Kompaun

– keyword : mempunyai perkataan aliran

8. Graf Garis Memesong

– keyword : mempunyai perkataan aliran kadar perubahan

9. Graf Garis Komponen

– keyword : mempunyai perkataan jumlah aliran

10. Carta Pai Bertingkat

– keyword : (a) mempunyai perkataan carta dalam soalan

(b) mempunyai dua soalan

(c) satu tahun sahaja (cth : pada tahun 2006)

11. Carta Pai

– keyword : (a) mempunyai perkataan carta dalam soalan

(b) mempunyai perkataan perbandingan dalam soalan

Liberalisme

Isu ajaran sesat bukanlah satu perkara yang asing dalam kamus kehidupan umat Islam. Ini kerana ia datang seiring dengan kehidupan manusia. Namun, masih terdapat ramai kalangan umat Islam yang begitu mudah terjebak dengan fenomena ajaran sesat tersebut. Meninjau realiti umat Islam akhir-akhir ini, ramai orang bercakap mengenai fahaman liberal. Ada yang memahami liberalisme itu sebagai satu bentuk falsafah.

Tidak kurang pula yang menganggap falsafah liberalisme itulah yang mampu membawa kemajuan kepada manusia dan masyarakat. Falsafah liberal itu pada hakikatnya adalah satu bentuk pembebasan atau kemerdekaan bakal memungkinkan manusia mencapai tahap kejayaan.

Dari sudut sejarah, fahaman liberal sebenarnya muncul ketika meletusnya Revolusi Perancis pada tahun 1789. Perjuangan pekerja menerusi slogan kebebasan (liberte), kesamaan (egalite) dan persaudaraan (fratenite) telah menjadi prinsip bagi penyingkiran kekuasaan. Dalam bidang ekonomi liberalisme dihubungkan dengan sistem pasaran bebas. Kerajaan tidak berhak campur tangan dan campur tangan kerajaan jika berlaku pun, ia hanyalah dalam bentuk yang paling minimum.

Liberalisme membiarkan kapitalisme menguasainya, penentuan harga adalah berdasarkan kuasa pasaran. Ia turut menyerap masuk prinsip spekulasi dan pelobian dalam memperoleh sesuatu. Natijahnya, wujud perlumbaan dan persaingan yang hebat bagi erebut penguasaan pasaran.

Prinsip kesamarataan

Dalam hubungan sosial pula, liberalisme memberikan makna ke atas prinsip kesamarataan. Ia amat berkait rapat dengan kecenderungan perjuangan golongan feminis, iaitu prinsip persamaan jantina. Ini seterusnya membawa kepada lahirnya istilah gender, kepupusan kawalan sosial terhadap seseorang dan runtuhnya institusi kekeluargaan.

Wanita berhak menentukan corak kehidupannya sendiri, dan dalam menentukan corak kehidupan itu ia tidak memerlukan sebuah kehidupan berkeluarga. Mereka menentang ungkapan wanita hanya berfungsi untuk melahirkan anak atau kilang bayi, malah menganggapnya sebagai satu penghinaan terhadap kaum wanita.

Tetapi, sebenarnya antara fungsi perkahwinan menurut Islam adalah untuk memperbanyakkan zuriat sebagai kesinambungan kehidupan. Oleh kerana kecewa dengan tanggapan tersebut, maka prinsip liberalisme ini menekankan bahawa wanita berhak menentukan nasibnya sendiri. Tidakseorang pun boleh memaksa atau berhak untuk menyekatnya. Wanita menjadi kuasa baru dalam pelbagai hal, sama ada politik, pengurusan mahupun ekonomi.

Pola ini sedang berkembang luas di seluruh dunia. Nisbah yang hampir sama antara lelaki dan wanita menyebabkan nilai masyarakat terhadap kehidupan wanita telah berubah. Untuk membuka pasaran dan mencari keuntungan, perlu ada produk khusus untuk wanita dan kerana itu, produk yang berkait dengan keperluan wanita semakin banyak, baik yang berupa pakaian, barangan kecantikan, perhiasan, elektrik mahu pun majalah.

Jika dilihat pasaran majalah, majalah khusus untuk wanita lebih banyak daripada majalah khusus untuk lelaki atau pun lain-lain bidang profesional. Jika dilihat dari aspek pertumbuhan gedung membeli- belah, kedai yang menjual perkakasan wanita adalah lebih banyak daripada lain-lain barangan. Dari perspektif Islam pula, fahaman liberalisme ini sangat berbahaya. Hal ini kerana konsep liberal dikaitkan dengan kebebasan untuk memilih agama dan mengamalkan apa yang dipercayainya selaras dengan prinsip rasional seseorang.

Prinsip untung, rugi jadi sandaran

Agama dilihat sebagai hak peribadi, dan orang lain tidak boleh menentukannya. Konsep baik dan buruk dinilai berdasarkan perspektif individu, perspektif kemasyarakatan tidak lagi menjadi teras pegangan. Prinsip untung, rugi menjadi sandaran, dan kerana itulah sesuatu tindakan akan dibuat berdasarkan prinsip tersebut. Melalui pemahaman itulah kita dapat kata-kata yang sengaja diadakan bagi menghalalkan apa yang dilakukan.

Umpamanya, kita biasa dihidangkan dengan ungkapan ‘Aurat tidak perlu ditutup, yang penting iman wujud di dalam hati, ‘Orang berzina tidak boleh dihukum, kerana kerelaan hati pasangan’, ‘Duduk serumah tanpa ikatan perkahwinan tidak salah selagi tidak berlaku perzinaan’ dan yang terakhir program ‘Saya mahu sentuh anjing’.

Prinsip itu berkembang dan menjadi budaya masyarakat Malaysia. Walaupun prinsip Islam liberal diharamkan secara jelas, namun nilai-nilainya semakin berkembang dalam kalangan masyarakat Islam. Berdasarkan perkembangan dan pertembungan budaya melalui pendidikan, proses sosial dan teknologi maklumat, fahaman liberal dalam masyarakat semakin mengambil tempat. Keluarga yang mempunyai kawalan mutlak terhadap kebebasan anak-anak mula terhakis apabila merasakan anak-anak perlu diberikan kebebasan.

Anak yang berkerjaya menjadikan ikatan kekeluargaan semakin longgar atas desakan kesibukan masa dan keperluan profesional. Inilah namanya kebebasan, dan akhirnya kebebasan itu menjerat kebebasan orang lain. Harga sebuah kebebasan itu menjadi terlalu mahal, dan ada kalanya melanggar kebebasan orang lain.

Prinsip liberalisme itu turut berkembang dalam pemikiran umat Islam sehingga akhirnya pegangan tradisi tentang agama akan berubah. Walaupun perkembangan Islam liberal di Malaysia masih terkawal dan tidaklah sehebat di Indonesia melalui bentuk pertubuhan dan organisasi, namun pihak kerajaan dan pihak berkuasa agama perlu bertindak tegas menghadapi ancaman fahaman dan pemikiran liberal ini daripada merebak dan mengeruhkan keharmonian penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Program berunsurkan liberal perlu dipantau dari semasa ke semasa dan perlu diharamkan jika ia memudaratkan keamanan negara.
BH.