Penggal 2

Sumbangan R&D

Posted on

Sumbangan penyelidikan kepada negara tidak boleh dilihat hanya dari sudut berapa produk yang dihasilkan, dipaten dan dikomersialkan. Penyelidikan menjadi nadi utama universiti di mana- mana pun di dunia dalam meneroka ilmu baharu selain memperkasakan dapatan sebelum ini. Penghasilan produk hasil daripada penyelidikan dan pengkomersialan hanyalah sebahagian daripadanya.

Hasil penyelidikan dapat dilihat daripada begitu ramai siswazah dikeluarkan oleh universiti kita yang diperkayakan pengalaman dan ilmu pengetahuan melalui proses pendidikan mengenai kajian untuk perolehan data, termasuk membantu cendekiawan meneliti pelbagai disiplin ilmu secara emperikal mahupun mengikut kaedah dan metodologi lainnya dalam kerja lapangan, kerja di makmal dan sebagainya.

Siswazah diajar menggunakan dapatan penyelidikan yang diteruskan apabila mereka mula memasuki dunia kerjaya, termasuk dalam industri yang sebenarnya tidak termasuk pun pengiraannya dalam penghasilan produk apatah lagi pengkomersialan.

Hal ini perlu difahami kerana hampir semua ilmu yang diajar di universiti bukan lagi berasaskan hafalan dan menurunkan semula apa yang dibaca, kepada kertas jawapan dalam peperiksaan bertulis. Ia hanya sebahagian daripada peratusan keperluan untuk pengijazahan, dan inilah yang membezakan universiti dengan sekolah atau institusi pengajian yang lebih awal, walaupun sebahagian asas ini bermula pada peringkat sekolah tinggi dan matrikulasi.

Pengukuran sebenar kejayaan

Hasil penyelidikan juga perlu dilihat dalam tanda aras yang betul jika mahu membuat pengukuran secara objektif apatah lagi jika dibuat pengiraan purata secara mudah yang membabitkan kerja yang tidak seimbang di antara pelbagai universiti yang ada. Sesetengah universiti, terutama yang mempunyai sejarah lama dan usaha kerja penyelidikan yang lebih banyak berbeza dengan sebahagian besar universiti lain yang sedang bergerak ke arah yang sama.

Dari sudut penghasilan produk untuk dipatenkan pun, kita boleh melihat dengan jelas perbezaan antara universiti di Amerika Syarikat yang berusia jauh lebih lama dari negara ini dengan universiti kita. Misalnya pada tahun 2004 permohonan paten daripada AS$225 juta hanya 0.25 peratus yang dicapai dan perolehan paten hanya sekitar 0.09 peratus.

Pendapatan daripada pelesenan AS$27,825. (Sumber AUTM, ASTP, Milklen Institute). Pengukuran sebenar kejayaan usaha penyelidikan dan inovasi juga perlu dilihat dari segi bagaimana dana yang diberi dapat digunakan dalam proses keilmuan universiti dan fundamental yang jelas untuk faedah penerokaan dalam sesuatu bidang malah juga memperkasakan penemuan sebelum ini.

Yang nyata ekosistem yang ada juga belum menyokong sepenuhnya usaha pengkomersialan produk kerana ada jurang yang nyata antara apa yang dihasilkan di makmal dengan keperluan sebenar industri. Industri selalunya mengharapkan produk sedia dipasar dan diguna daripada mengeluarkan pelaburan besar untuk meningkatkan skala penghasilan produk berkenaan untuk tujuan pasaran.

Pelabur seboleh mungkin enggan untuk berbuat demikian kerana risiko yang ada, malah disebabkan oleh adanya kegiatan penyelidikan dan pembangunan dalaman mereka yang sesetengahnya jauh lebih berintensifkan keuntungan berbanding dengan apa yang dihasilkan oleh universiti. Tempoh masa untuk memperoleh keuntungan daripada dana yang dilaburkan untuk universiti juga akan lebih panjang dan lama.

Pembinaan negara bangsa

Hakikatnya hasil penyelidikan di universiti juga perlu melihat kepada sumbangan besarnya dalam penghasilan inovasi sosial dan pembangunan masyarakat yang lebih menyeluruh serta pembinaan tamadun yang berteraskan ilmu.

Ada banyak usaha sedemikian dalam membantu masyarakat dalam era berlakunya proses pemindahan ilmu sekarang ini hasil daripada usaha penyelidikan yang dibuat. Dalam erti kata lain, hasil penyelidikan yang ada dapat diturunkan dan dikongsi terus dengan masyarakat melalui usaha penyelidikan di universiti tanpa menghasilkan produk khusus, sebaliknya memperkukuhkan teknologi yang ada dan digunakan dalam masyarakat.

Ini tentunya lebih bermakna, pada masa sama, universiti secara berterusan memanfaatkan dana yang ada untuk menerokai pelbagai disiplin ilmu, membina jaringan kerjasama dan memanfaatkan hasil dapatannya menerusi penghasilan dalam jurnal yang dirujuk dan diterima di seluruh dunia.

Penyelidikan dan inovasi menjadi satu daripada komponen utama universiti yang dapat menjadi hak milik rakyat dan menjadi teras kepada pemikiran dan cara bekerja yang tidak hanya menggunakan emosi tetapi fakta dan data jelas, yang bermula dari proses kerja di makmal dan lapangan sebenar menggunakan metodologi penyelidikan dan dihasil melalui pendidikan tinggi di universiti.

Penyelidikan dalam bidang sastera, budaya, arkeologi, sosiologi anthropologi, seni, pengurusan, perakaunan dan banyak lagi b
idang ilmu lain juga sering tidak menghasilkan dapatan dalam bentuk produk untuk dikomersialkan tetapi sangat penting dalam proses pembinaan negara bangsa.

Kerana itu membuat tafsiran data daripada dana penyelidikan perlu dibuat secara menyeluruh tanpa prasangka dan deskripsi mudah kerana ia akan memberi kesan psikologi dan persepsi yang mengganggu proses dan usaha yang dibuat selama ini.
Sumber : BH

Isu kemiskinan dan cara mengatasi.

Posted on

Sebanyak dua juta atau 28.7 peratus daripada tujuh juta isi rumah di negara ini masih dikategorikan sebagai miskin bandar dengan pendapatan di bawah paras RM3,000 sebulan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sehubungan itu, kerajaan akan terus meningkatkan pendapatan rakyat seiring dengan pergerakan kos hidup dan seterusnya menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.

Katanya, ia akan dilakukan dengan mempergiatkan agenda transformasi ekonomi yang memberi fokus kepada modal insan, peningkatan dalam produktiviti serta kreativiti dan inovasi.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, lima juta isi rumah lagi atau 71.3 peratus kini mampu menjana pendapatan bulanan melebihi RM3,000 iaitu peningkatan ketara setakat awal tahun ini berbanding hanya 61.3 peratus isi rumah pada 2012.

“Kerajaan juga akan terus memberi tumpuan kepada aspek pembangunan sosial dan mengambil langkah bersesuaian dalam usaha membantu rakyat menangani beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kerajaan juga akan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik serta kemudahan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Klinik 1Malaysia yang menawarkan barangan serta perkhidmatan pada harga berpatutan kepada semua lapisan rakyat,” katanya.

Abdul Wahid berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) berhubung Model Baru Ekonomi (MBE) dan pergerakan gaji serta pendapatan per kapita rakyat menjelang 2020 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, sasaran MBE untuk meningkatkan pendapatan per kapita rakyat kepada RM49,000 menjelang 2020 masih berada di landasan tepat dengan peningkatan yang ketara melalui pelbagai pemboleh ubah ekonomi.

“Dalam tempoh lima tahun antara 2008 dan 2013, ekonomi kita telah meningkat pada kadar purata 5.1 peratus setahun manakala jumlah gaji naik pada kadar lapan peratus setahun.

“Ini telah membolehkan nisbah atau peratusan gaji kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada 29.3 peratus pada 2008 kepada 33.6 peratus pada 2013 sekali gus memberi makna pembahagian hasil peningkatan ekonomi yang adil,” katanya.

Katanya, dalam tempoh itu, indeks harga pengguna (IHP) juga telah meningkat daripada 98.3 kepada 110 iaitu peningkatan tahunan sebanyak 2.3 peratus yang menggambarkan peratusan pertambahan pendapatan isi rumah lebih tinggi berbanding kenaikan kadar inflasi.

“Di samping itu, pendapatan 40 peratus isi rumah terendah juga telah meningkat daripada RM1,440 pada 2009 kepada RM1,847 (2012) dan RM2,312 pada tahun 2014 iaitu peningkatan 10 peratus setahun dalam jangka masa itu,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Hidup tanpa subsidi?

Posted on Updated on

Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia percaya mereka tidak boleh hidup tanpa subsidi, yakin tanpanya kualiti hidup mereka perlu dikompromikan.

Realitinya kita boleh, dan yang lebih penting, kita mesti (hidup tanpa subsidi).

Walaupun ada subsidi yang perlu dimansuhkan, ada yang wajar dikekalkan.

Bantuan langsung dan subsidi bersasar untuk kumpulan yang memerlukan, boleh diteruskan, termasuk perkhidmatan perlu seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Ramai yang mengatakan pemansuhan subsidi bahan api akan menjejaskan kumpulan masyarakat yang paling mudah terjejas.

Bagi yang memerlukannya, Jabatan Kebajikan Masyarakat sedia membantu mereka. Jika RM2.4 bilion dijimatkan menerusi pengurangan subsidi sebanyak 10 sen bagi subsidi bahan api, kerajaan boleh menggunakan ‘penjimatan’ itu untuk menambah pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak kira-kira RM960 juta atau tambahan RM200 setiap isi rumah untuk kira-kira 4.8 juta isi rumah yang layak menerimanya.

Bagi mereka yang mendakwa jumlah itu tidak dapat mengimbangi peningkatan harga bahan api, perlu diingatkan bahawa isi rumah terbabit tidak memandu kereta besar.

Mereka mungkin menunggang motosikal berkapasiti rendah atau menggunakan pengangkutan awam. Malangnya yang membuat bising terdiri daripada kalangan yang memiliki kereta besar dan menjalani hidup mewah.

Ironisnya, bahan api yang murah inilah yang menarik penduduk negara jiran kita untuk menyeberangi sempadan dan mengisi tangki kenderaan masing-masing.

Ada juga kalangan nelayan dari negara jiran yang membeli diesel murah di negara ini.

Kita menggunakan sumber berharga untuk membantu mereka yang tidak memerlukannya, termasuk pelancong dan pemimpin korporat terkemuka.

Ada banyak sebab dari segi ekonomi mengapa kita wajar hidup tanpa subsidi.

Pertama, kos fiskal mengekalkan sistem subsidi sedia ada sangat tinggi.

Paras hutang negara yang tinggi mendapat perhatian rakyat, namun inilah antara langkah yang perlu diambil bagi menangani situasi itu dengan berkesan.

Kedua, ada kos peluang untuk kerajaan – ia boleh menggunakan penjimatan untuk sektor yang lebih memerlukan seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur.

Kerajaan boleh memperuntukkan dana untuk syarikat baharu, mewujudkan lebih peluang pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi mampan yang memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh.

Penggunaan bahan api tanpa had juga mendatangkan kesan buruk – pengurangan sumber.

Generasi akan datang akan merasai kesan akibat penggunaan tenaga yang besar ke atas pemanasan bumi.

Inikah dunia yang kita mahu diwarisi anak-anak kita? Bahan api yang murah juga bermakna kita tidak menghargai nilainya dan tidak berfikir dua kali kerana menggunakannya secara membazir.

Secara umumnya, subsidi perlu bersasar dan digunakan untuk menyelesaikan masalah khusus serta menggalakkan perubahan dari segi amalan, berbanding berperanan untuk menangani masalah jangka panjang yang akan lebih banyak mendatangkan masalah dan menjejaskan ekonomi.

Jika tidak ditangani, penggunaan dan subsidi tinggi akan menjurus kepada masalah yang lebih serius.

Ukraine, sebagai contoh terpaksa beralih ke Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk bantuan penyelamat berjumlah AS$15 bilion pada awal tahun.

Ukraine membelanjakan tujuh peratus Keluaran Dalam Negara Kasarnya untuk subsidi gas asli.

IMF enggan berunding dengan Ukraine sehinggalah negara itu mengurangkan subsidi kepada satu pertiga – bermakna Ukraine mesti melaksanakan rasionalisasi subsidi.

Saya percaya kita tidak mahu situasi seperti ini berlaku. Kesannya lebih buruk!

Subsidi bahan api juga tidak menggalakkan pelaburan dalam tenaga alternatif dan eksplorasi bahan api fosil.

Semasa membeli kenderaan, kebanyakan kita tidak memikirkan kos bahan api yang berkaitan dengannya. Namun tanpa petrol subsidi, kita akan menimbang alternatif penjimatan tenaga, termasuk kenderaan hibrid atau kereta elektrik.

Sebagai sumber asli, jumlah petroleum yang dimiliki pasti ada batasannya.

Apa akan berlaku jika kita kehabisan sumber petroleum? Akibatnya sukar dibayangkan.

Bukankah lebih baik untuk kita memulakan hidup tanpa subsidi sekarang, dan tidak menangguhkannya sehingga pada hari yang tidak dapat dielakkan lagi?

Tidakkah lebih baik untuk menggunakan wang yang kita bazirkan ke atas subsidi untuk meningkatkan perkhidmatan asas seperti air bersih, pendidikan yang lebih baik, pengangkutan awam, infrastruktur dan penjagaan kesihatan?

Walaupun kebimbangan tidak berasas bahawa kita tidak akan mampu menghadapinya, realitinya kita boleh dan kita akan. Kita akan mengubah corak penggunaan; menggunakan kenderaan cekap bahan api dan menggunakan pengangkutan awam bagi menangani realiti baharu.

- BERNAMA