Pembangunan Lestari

Posted on

Oleh DZULKIFLI ABDUL RAZAK

DALAM dunia hari ini yang lebih mewah dan kaya raya, kita sedang mengalami berbagai krisis. Baik dari segi ekologi, geopolitik, sosio budaya mahupun ekonomi. Percaturan yang ada menunjukkan anggaran 60 peratus penduduk dunia hidup melarat pada kadar kurang AS$3 dolar sehari. Ia merangkumi kira-kira empat bilion umat manusia di seluruh pelosok dunia.

Kebanyakannya sudah tentu berada di dunia membangun dan kurang membangun. Istilah ini dikenakan kepada mereka mengikut perkiraan ekonomi yang meletakkan hampir semua negara Barat sebagai negara maju sekali gus merupakan contoh pembangunan yang ‘paling baik’ untuk diteladani.

Kedudukan tidak seimbang ini disedari sejak beberapa lama dan pada 1992 masyarakat antarabangsa mengambil langkah mengatasinya melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam Sidang Kemuncak Bumi (Earth Summit) di Rio de Janeiro. Di bawah tema Pembangunan Lestari dan Alam Sekitar, hampir semua ketua negara bersetuju untuk membuat perubahan.

Namun selepas 10 tahun iaitu pada 2002, pada Persidangan Rio+10 yang diadakan di Johannesburg, ternyata sedikit sekali pembaharuan yang terhasil. Antara lain, hal ini terjadi disebabkan sektor pendidikan tidak diambil kira dengan mendalam dalam perhitungan untuk melaksanakan agenda global tersebut. Maka wujud satu kelompangan yang begitu ketara dari aspek kesedaran untuk berubah, apalagi menjayakannya.

Ekoran itu, PBB mengambil keputusan mengumumkan bahawa mulai 2005 sehingga 2014, pertubuhan itu memperkenalkan ‘Dekad PBB bagi Pendidikan untuk Pembangunan Lestari’. Ia bertujuan memusatkan usaha ke arah matlamat Rio dalam satu jangka masa yang ditetapkan iaitu pada tahun 2014. Sekali lagi ia dipersetujui oleh ketua-ketua negara seluruh dunia, dan sekali gus mengiktiraf bahawa tanpa pendidikan maka perubahan, apa lagi keseimbangan yang diinginkan tidak akan berlaku. Namun begitu, ia bukan untuk sebarang bentuk pendidikan. Jika tidak menjurus kepada prinsip kelestarian sebagaimana yang dianjurkan oleh PBB, maka ia pasti tidak akan berlaku.

Jelas ini adalah ‘pra-syarat’ utama yang perlu difikirkan dalam kita mengolah pendidikan yang lebih bermakna untuk masa dan generasi hari muka. Tambahan pula, ciri-ciri Model Baru Ekonomi telah termaktub unsur kelestarian, di samping keterangkuman dan pendapatan tinggi. Malah kelestarian dan terangkuman mempunyai kaitan rapat dalam model tersebut, asalkan pelaksanaannya tepat dan betul. Oleh itu, kedua-dua ini merupakan dimensi penting yang wajar difikirkan dalam pendidikan formal dan tidak formal.

Bagi Malaysia, kefahaman ini penting dalam usaha merapatkan jurang antara kumpulan 20 peratus teratas dengan 40 peratus ke bawah (mengikut kadar pendapatan kurang RM1,500), mahupun 40 peratus pertengahan (pendapatan kurang RM3,000). Pendek kata, apabila pendapatan meningkat ke paras yang lebih tinggi, seharusnya bukan hanya satu-satu golongan yang terlibat tanpa merangkumi kesemuanya dalam satu wadah yang lestari.

Perkara ini bukannya mudah sekiranya tidak didahului dengan mengubah nilai set minda yang ada dalam usaha mengelakkan apa yang pernah diramalkan Allahyarham Aminuddin Baki iaitu ‘Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan’. Jika tidak, keadaannya akan berterusan seperti mana yang ada sekarang ini.

Bak kata pendeta Gandhi, “Bumi ini memadai untuk memenuhi kehendak semua, tetapi bukan untuk yang tamak haloba dalam kalangan mereka”! Kata-kata Gandhi ini tepat menyasari pendidikan hari ini kerana sifatnya semakin mengejar kehidupan yang bergelumang dengan sifat tamak yang tiada berkesudahan.

Pendidikan hari ini dipenuhi dengan berbagai tuntutan industri dan pasaran, sehinggakan ada yang telah mula menggadai etos pendidikan itu sendiri dan menjadi pelajar sebagai ‘produk’ yang boleh ditawar menawar dan pendidikan dijual beli. Bertambah hebat lagi dengan tumbuhnya bagaikan cendawan selepas hujan, institusi pendidikan swasta yang jelas lebih mirip bersifat kilang dan bersandarkan perdagangan.

Oleh itu, tidak dapat tidak, pendidikan kini berada di persimpangan dan menuntut satu renungan amat mendalam dari semua peringkat yang prihatin bukan sahaja tentang untung nasib sistem pendidikan itu sendiri, tetapi juga tenggelam timbulnya generasi akan datang dan budaya bangsanya.

Ia sekali gus membayangkan kegagalan pendidikan tanpa kelestarian kerana tidak mampu mengamalkan prinsip berkaitan. Dengan kata lain, lambat laun ia akan membawa kepada pemudaran, kemelesetan dan pemusnahan yang kini beransur-ansur berlaku di hadapan mata kita. Namun dari kaca mata umum, kita diberi faham bahawa ini adalah harga kepada apa yang dipanggil pembangunan, sedangkan sebenarnya ia berpunca daripada pendidikan yang pincang.

Hakikat ini cukup menyerlah dengan keruntuhan ekonomi dunia yang berpunca dari dunia Barat, khasnya Amerika Syarikat. Bahkan ada yang mempersoal di manakah pendidikan kelas dunia yang sering dilaungkan negara tersebut apabila para sarjananya gagal menelah dan mengawal rebahan keruntuhan berkenaan.

Apa pun yang penting diingatkan kembali adalah konsep kelestarian ini sebenarnya mempunyai akar umbinya dalam budaya bangsa kebanyakan tradisi sejak lama lagi. Sebab itu, pembangunan dahulu tidak meracun alam sekitar atau kehidupan seperti sekarang. Sebagai sebuah masyarakat pelayar dan petani, kelestarian adalah prinsip asas yang memelihara persekitaran dan nilai kemanusiaan. Ia satu cara pemikiran yang ampuh yang memberi pengertian mendalam tentang manusia dan persekitaran serta kehidupan masa hadapannya.

Prof. Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s